Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Kalau takut diusik, jangan usik kami - Akmal

Semalam Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia enggan memanjangkan ketegangan antara pemimpin parti-parti kerajaan.

Walaupun Ketua Pemuda Umno Akmal Salleh tidak menyebut langsung teguran presidennya itu namun dipercayai dia bertegas menegakkan pendiriannya sebelum ini yang dilihat sesetengah pihak sebagai 'kontroversi'.

"Kalau takut kena usik,jangan sesekali usik kami dulu.

"Jangan ingat kamu usik kami, kami diam membisu sahaja. Orang lain mungkin, tetapi bukan kami," kata Akmal pada hantaran di media sosial yang disertai tanda pagar #Pemuda Umno Malaysia.

Semalam Zahid berkata PH tidak perlu membuat sebarang permohonan maaf kepada Umno manakala pemimpin Umno pula diminta menghentikan serangan.

“(PH) Tidak perlu minta maaf. Jangan usik rakan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita mesti menghormati antara satu sama lain. Yang penting kita mesti mengekalkan keadaan dan situasi perpaduan kerajaan sekarang ini.

“Jangan timbulkan sebarang masalah,” kata Zahid.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri bagaimanapun berkata kenyataan ketua Pemuda Umno sebelum ini adalah kenyataan peribadi.

“Selagi presiden parti atau ketua parti tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, kenyataan- kenyataan itu adalah berbentuk peribadi,” tegasnya.

Ahmad Zahid berkata dia telah bertemu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung kemelut yang melanda.