Mursyidul am PAS terkenang Lim kata nak perintah macam Umar Abdul Aziz
PAS dan DAP, yang pernah menjadi sekutu dua kali dalam gabungan - Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat - tidak akan rujuk semula lagi, kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.
Dia turut mengenang kerjasama dalam Pakatan Rakyat, apabila Lim Guan Eng, ketika itu setiausaha agung DAP, berhasrat menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz teladan dalam pentadbirannya di Pulau Pinang setelah menawan negeri itu pada pilihan raya umum 2008 dan menjadi ketua menteri.
“Sebabkan dulu kita (PAS) kawan baik (dengan DAP). Lim Guan Eng pun pernah sebut dia akan memerintah di Pulau Pinang seperti (Khalifah) Umar Abdul Aziz.
"Dia pernah sebut, kita dengar ni kita boleh berkira (terima) dengan dia.
“Tapi keadaan (hakikat sebenar) dia (DAP) tidak seperti yang dicakap, ” kata Hashim.
Ketika itu, pemimpin BN tidak senang dengan hasrat Lim untuk mengambil teladan daripada khalifah Islam tersebut.
Salah seorang daripada mereka, Shabudin Yahya berkata Lim mempunyai ramai lagi pemimpin bukan Islam lain yang boleh dicontohi.
Katanya Umar seorang pemimpin yang disanjungi umat Islam kerana akidah, ibadah dan keperibadiannya.
Teladan nilai
"Kalau nak guna nama Abraham Lincoln atau Nelson Mandela, guna lah," katanya.
"Ciri-ciri mereka tak sama, jadi boleh timbul sensitiviti dan kemarahan yang tidak boleh diubati," kata Shabudin lagi.
Sebagai balasan, Lim, yang kini pengerusi DAP berkata tiada salahnya dia mencontohi nilai-nilai mulia khalifah terkenal itu.
“Jangan beritahu saya bahawa saya patut belajar nilai-nilai ini hanya daripada pemimpin Umno," sambil menegaskan semua agama mengajarkan nilai-nilai yang baik.
Menjelaskan lebih lanjut, Hashim berkata apabila seorang Muslim bersangka baik dengan musuh maka "dia kena penyakit mental."
"Kita panggil otak dia tu rosaklah," katanya.
“Kita (PAS) menganggap DAP musuh bukan kerana kaum. Tapi dia (DAP) sudah tunjukkan tingkah laku dia dan hala tuju perjuangan dia yang menampakkan dia termasuk dalam istilah ‘musuh politik’," dakwanya.
Tanpa menghuraikan lanjut, Hashim juga mendakwa bahawa terdapat syarat "jangan bagi (ahli ada hubungan dengan) Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
"Kita tak boleh terima,” katanya yang juga Adun Sanglang itu.
Mursyidul Am PAS dilaporkan Harakahdaily mengulas mengenai realiti politik Malaysia yang dilihat memerlukan gabungan antara parti-parti untuk memenangi pilihan raya dan membentuk pemerintahan.
Hashim berkata PAS tidak pernah menafikan keperluan untuk bekerjasama berdasarkan pendekatan dan prinsip Islam.
“Jadi kalau yang berkait dengan (pihak sama atau perjuangkan) akidah, itu yang paling kuat (untuk bekerjasama). Tapi dalam bidang ekonomi, dalam bidang lain, kehidupan masyarakat, ini terbuka (untuk bekerjasama).
“Sebab itu, sampai sekarang, PAS tak anggap Umno musuh. Mungkin kepimpinan dalam Umno yang ada sekarang belum sesuai untuk kita fikirkan kerjasama.
“(Tapi) Pintu kerjasama tu buka," katanya.
Untuk rekod, PAS dan Umno musuh ketat selama beberapa dekad dan perseteruan mereka pernah didakwa sampai ke tahap meretakkan silaturahim sesama keluarga.
Bagaimanapun, kedua-dua parti itu membentuk gabungan selepas pilihan raya umum 2018 yang menyaksikan Umno ditumbangkan dari tampuk kuasa dan PH, yang termasuk DAP, membentuk kerajaan persekutuan.
Hubungan PAS dan Umno kemudian renggang dan Umno kini bekerjasama dengan PH dalam kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum 2002.
PAS dengan jelas telah menegaskan tidak akan bekerjasama dengan Umno selagi Ahmad Zahid Hamidi masih menjadi presiden.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai