Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Hujan lebat di Lembah Klang: 3 kejadian pokok tumbang, 4 kenderaan rosak

Hujan lebat petang tadi menyebabkan tiga kejadian pokok tumbang dilaporkan di Gombak dan Petaling Jaya, Selangor serta Desa Melawati di Kuala Lumpur, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pokok tumbang di laluan menghala Sungai Pusu, Gombak pada 6.10 petang dan jentera tiba 32 minit kemudian.

Dia berkata enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba mendapati sebatang pokok tumbang dan menghalang jalan namun tidak membabitkan mangsa serta kerosakan struktur jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, seorang wanita terselamat selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya dihempap pokok tumbang di Stesen LRT Taman Megah, Petaling Jaya malam ini.

Ahmad Mukhlis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.39 malam melibatkan seorang wanita berusia 33 tahun.

“Apabila sampai di lokasi kejadian terdapat seorang mangsa di dalam kereta dan berjaya dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, tiga kenderaan rosak selepas dihempap pokok tumbang di jalan utama ke kondominium Desa View Towers di Taman Desa Melawati di Kuala Lumpur petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.34 petang dan sembilan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Anggota membuat tindakan dengan menggunakan mesin gergaji berantai untuk memotong pokok yang menghempap kenderaan dan menghalang lalu lintas di lokasi kejadian.

“Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut membantu menangani insiden terbabit.  Tiada mangsa yang terlibat di lokasi dan operasi tamat sepenuhnya pada 7.39 malam,” katanya.

-Bernama