Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

'Gerakan paling tak layak bercakap soal sokongan pengundi'

Seorang pemimpin Bersatu mempersoalkan kerelevanan Gerakan selepas parti itu menggesa PN membuat analisis menyeluruh terhadap trend peralihan undi Melayu kepada Umno. 

Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan Mahathir Mohd Rais berkata Gerakan paling tidak layak untuk bercakap mengenai tahap sokongan pengundi apabila parti itu sentiasa terpinggir dalam politik negara. 

"Adakah Gerakan, sebuah parti yang merosot selama lebih sedekad, layak untuk mengkritik rakan gabungannya? 

“Dan adakah Gerakan mempunyai kredibiliti untuk bercakap mengenai trend pengundian Melayu apabila ia bergelut untuk kekal relevan dalam mana-mana demografi pengundi? 

"Kegagalan Gerakan untuk meraih sokongan pengundi, khususnya di kalangan orang Cina, amat ketara jika dibandingkan dengan kejayaan besar DAP, yang mengukuhkan dominasi dalam kalangan pengundi Cina dengan meletakkan dirinya sebagai alternatif berwibawa kepada Gerakan atau MCA," kata Mahathir dalam kenyataan hari ini. 

Mahathir mengulas kenyataan Presiden Gerakan Dominic Lau yang mengingatkan PN agar tidak leka selepas Umno berjaya menang dalam dua pilihan raya kecil (PRK) berturut-turut.

Dominic Lau (tengah)

Katanya, kajian menyeluruh mengenai trend peralihan undi Melayu kepada Umno dalam PRK Nenggiri dan Mahkota penting bagi persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang. 

Mengulas lanjut, Mahathir berkata Gerakan hampir tidak berbuat apa-apa untuk kembali bangkit daripada kejatuhannya, dan parti itu mesti terlebih dahulu mengakui ia bukan lagi pesaing dalam arena politik tempatan.

Tambahnya, Gerakan juga tidak banyak menyumbang kepada kejayaan PN. 

"Parti itu tidak memegang kerusi Parlimen dan tidak membuat apa-apa kejayaan besar dalam pilihan raya sejak ia jatuh daripada zaman gemilangnya.

“Keluarnya Gerakan daripada BN pada 2018 tidak mencetuskan kebangkitan, bahkan kemasukannya ke dalam PN tidak memberikan rangsangan yang sangat diperlukan. 

"Jadi, apa sebenarnya yang dibawa oleh Gerakan kepada PN? Ketiadaan pengaruh parti adalah jelas, terutamanya berbanding Bersatu dan PAS, yang mempunyai sokongan akar umbi dan jentera pilihan raya yang kuat. Jika Gerakan hampir tidak kelihatan dalam PN, apa haknya untuk mengkritik prestasi PN?" soalnya lagi.

Mahathir seterusnya mendakwa Lau bersikap tidak adil apabila tiba-tiba memberi tumpuan kepada trend pengundian Melayu, namun hampir tidak berkata apa-apa apabila PN menang PRK Sungai Bakap dengan majoriti yang kukuh. 

“Adakah Gerakan benar-benar mengambil berat tentang prospek PN, atau adakah ini percubaan untuk mengalih perhatian daripada kekurangan kemajuannya sendiri? 

"Gerakan tidak boleh memilih isu yang sesuai dengan naratifnya, terutama apabila ia hanya menyumbang sedikit kepada prestasi keseluruhan PN” jelasnya.

[Baca berita penuh]