Bicara kes warga Israel miliki pistol, peluru - tarikh baru mulai Jan
Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 12 hari bermula Januari tahun depan untuk perbicaraan kes seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 200 butir peluru di sebuah bilik hotel, di Kuala Lumpur, Mac lepas.
Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh perbicaraan baru pada 6 hingga 9 Jan, 13 hingga 16 Jan, serta 20 hingga 23 Jan depan, selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam memohon mahkamah menjadualkan semula tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.
“Pihak pendakwaan akan memanggil 30 saksi pendakwaan, dan pernyataan saksi akan disediakan,” kata Mohamad Mustaffa pada prosiding kes hari ini yang sepatutnya ditetapkan untuk hari pertama perbicaraan.
Mahkamah turut melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan pada 1 hingga 3 Okt dan 7 hingga 11 Okt ini.
Pada prosiding hari ini, Avitan diwakili peguam Sreekant Pillai.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9x19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai