Pertandingan ubah PPR jadi ‘hotel’
Dengan sedikit inisiatif, projek perumahan rakyat (PPR) yang sinonim dengan suasana “seram” dan “muram” berubah wajah.
PPR Lembah Subang 1 di Petaling Jaya antara yang menjalani transformasi itu.
Ini semua susulan sebuah pertandingan kebersihan dan keceriaan PP anjuran Thinkcity, entiti milik Khazanah Nasional yang ditubuhkan untuk mempromosikan kelestarian bandar.
Koordinator zon 2 projek itu yang hanya mahu dikenali sebagai Noraini, 50, berkata pertandingan itu memfokuskan kepada keceriaan ruangan lif di setiap tingkat.
Dia juga berkata pertandingan itu memfokuskan kepada empat komponen iaitu kebersihan, keselamatan, keceriaan dan akhirnya penilaian.
“Pertandingan ini juga mempunyai tema untuk setiap blok di PPR seperti alam sekitar, minimalis, lobi hotel dan juga modern.
“Setiap tingkat bebas memilih tema yang mereka suka,” katanya.
Katanya, setiap tingkat menerima RM500 untuk projek keceriaan kecuali ruangan lif bawah yang menerima RM 3,000.
Setiap blok pula, katanya, telah menerima RM5,000 untuk projek kebersihan dan gotong-royong.
Katanya, walaupun dana itu kecil, tetapi dapat dimaksimumkan kerana penduduk sendiri turut membuat kerja-kerja pembaikan, termasuk mengeluarkan tambahan dari poket sendiri.
“(Usaha mereka) memang 200 peratus,”katanya.
Seorang penduduk Nor Hidayah Sulaiman, 41, pula berkata pertandingan itu adalah peluang buat mereka mencantikkan dan menambah baik persekitaran perumahan.
Untuk tingkatnya, mereka mengambil masa dari pukul sembilan malam sehingga dua pagi setiap hari dan tiada paksaan bagi penghuni-penghuni yang ada keluarga.
“Bagi pemasangan yang menggunakan gerudi dan sebagainya, kami mengambil masa pada waktu siang untuk bergotong-royong membersihkan ruangan lif agar tidak mengganggu kejiranan.
“Pada waktu malam pula, kami akan melakukan aktiviti mengecat dan lain-lain,” katanya.
Barang-barang pula, kata Hidayah, banyak dibeli di atas talian.
Katanya, dengan hasil memuaskan hati, ia tidaklah semahal yang difikirkan oleh orang luar.
Pemenang antara blok akan memperoleh RM3,000, diikuti tempat kedua (RM2,000), tempat ketiga (RM1,500).
Pemenang antara tingkat pula akan memperoleh RM500 bagi tempat pertama, diikuti tempat kedua (RM300) dan tempat ketiga (RM200).
Nor Hidayah, berharap penganjur meneruskan program itu di seluruh Malaysia kerana ia membuatkan penghuni lebih bersemangat menjaga kebersihan selain mengeratkan hubungan.
“Bukan itu sahaja, dia berkata melalui program ini akan wujud perasaan kasih-sayang, hormat-menghormati dan dapat mengambil berat antara satu sama lain.
“Sekarang sudut-sudut yang menyeramkan telah bertukar kepada ketenangan, bersih dan menenangkan,”katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai