Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

BLOG | Pengundian Mahkota tamat

PRK MAHKOTA | Malaysiakini membawakan perkembangan semasa proses pengundian hari ini melalui laporan pasukan wartawan di lapangan.

Untuk mengetahui keputusan langsung dan pantas, sila klik pautan ini.


6 petang - Berlatar hujan lebat, pintu pagar di SMK Seri Perdana ditutup menandakan pengundian telah tamat.

Disebabkan hujan lebat, pengundi dialihkan ke pintu masuk sebelah sekolah yang mempunyai lebih banyak ruang berbumbung.

Proses pengundian bermula pada pukul 8 pagi, yang menyaksikan pengundi hadir di pusat pengundian di seluruh Mahkota.

Pada pukul 4 petang, SPR berkata dalam kemas kini terakhirnya bahawa kadar keluar mengundi ialah 47.16 peratus.

Terdapat kebimbangan yang dinyatakan sebelum ini bahawa peratusan keluar mengundi akan rendah, sebahagiannya disebabkan trend PRK dan sebahagian lagi sebagai tindak balas daripada pengundi Cina terhadap perbalahan antara Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.

4.50 petang - SPR memaklumkan peratusan keluar mengundi sehingga jam 4:00 petang ialah 47.16 peratus.


3.30 petang - Tee Ley Hoe, seorang pengundi berusia 30 tahun yang bekerja di Singapura, pulang ke rumahnya malam tadi untuk mengundi.

Tee mengambil bahagian dalam inisiatif "Free Carpooling to Vote", memulakan perjalanan dari Singapura pada pukul 9 malam dan tiba di Mahkota, Kluang pada pukul 11:30 malam. Dia mengundi pagi ini pada pukul 11 ​​pagi di SMK Seri Perdana.

Dia telah bekerja di Singapura selama lebih 10 tahun, dan ini adalah kali kedua dia mengundi, selepas pilihan raya negeri Johor 2022.

Dalam temu bual di pusat kempen Kerajaan Perpaduan petang tadi, Tee berkongsi bahawa dia mengambil cuti untuk pulang dan mengundi dan akan kembali bekerja di Singapura pada hari Isnin.

Ketika ditanya mengapa dia sanggup mengambil cuti, Tee berkata, "Untuk tolong Malaysia, untuk tolong Kluang."

Dia menyebut dua minggu lalu, semasa mendaki di Gunung Lambak di Kluang, dia secara kebetulan bertemu dengan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dan mengetahui mengenai PRK itu.

Ketika ditanya sama ada dia meneliti calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu, dia berkata, "Saya hanya kenal dia (Syed Hussien), tetapi satu lagi (Haizan) tak tahu," katanya.


3.25 petang - Jumlah pemillih yang keluar mengundi meningkat hampir 5 peratus setakat jam 3 petang tadi.

Berbanding 38.53 peratus yang sudah menunaikan tanggungjawab masing-masing setakat jam 2 petang, sejam kemudian jumlah itu bertambah 4.91 peratus menjadi 43.44 peratus.

Data terbaru itu dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya.


3 petang - Seorang pemimpin DAP Johor membuat laporan polis mengenai insiden dia dihubungi oleh seseorang yang berkempen untuk mengundi PN pagi tadi.

Laporan polis itu dibuat Sheikh Umar Bagharib Ali di Ibu Pejabat Polis Kluang. Dia ditamani seorang ahli DAP, Koh Chia Heng.

Ia berhubung panggilan diterima bekas exco Johor itu daripada seorang wanita pagi tadi yang menggesa dia memilih PN berbanding BN atas alasan parti kerajaan dipengaruhi oleh orang Cina.


2.20 petang - Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, kadar keluar mengundi setakat ja 2 petang tadi ialah 38.53 peratus.


1.30 tengah hari - Timbalan Pengerusi DAP Johor Sheikh Omar Bagharib Ali mendakwa dia menerima panggilan telefon berupa kempen yang menggesa dia agar mengundi PN pagi tadi.

Katanya tindakan tersebut boleh dianggap melanggar undang-undang pilihan raya yang menetapkan semua aktiviti berkempen sepatutnya tamat tengah malam tadi.

Kata Sheikh Omar, apabila bertanya kepada penggail terbabit mengapa dia perlu mengundi PN, individu berkenaan mendakwa: "Jika anda mengundi Barisan Nasional (BN), negara akan dikuasai oleh orang Cina."

Sheikh Omar mendakwa pemanggil itu juga berkata walaupun kerajaan diketuai Anwar Ibrahim, ia masih berada di bawah pengaruh orang Cina.

Dia kemudian membalas, PN sendiri mempunyai parti komponen Gerakan yang majoriti ahlinya terdiri daripada masyarakat Cina.

Bagaimanapun dakwa Sheikh Omar, pemanggil terbabit menegaskan PN tidak dikawal oleh Cina.

"Pada saya ini adalah pelanggaran peraturan pilihan raya kerana berkempen di luar waktu yang dibenarkan," katanya.


12.30 tengah hari - Sehingga jam 12 tengah hari tadi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 29.08 peratus pemilih sudah keluar mengundi.


12.15 tengah hari - Keputusan PRK hari ini dapat diketahui seawal jam 9 malam, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ramlan Harun.

Menurut Bernama, lokasi pusat mengundi yang berdekatan dan proses pengundian yang berjalan lancar membolehkan keputusan dapat diketahui dengan lebih cepat. 

Ramlan berkata, SPR menjangkakan lebih 60 peratus pengundi akan terlibat dalam PRK kali ini berbanding 57 peratus semasa pilihan raya negeri lalu.


12.10 tengah hari - Umno mendakwa ada pihak tertentu menaikkan sepanduk bersifat provokasi pagi tadi dan bertujuan untuk mengelirukan pengundi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan, berkata pihaknya mengesyaki sepanduk tersebut dinaikkan antara jam 3 pagi hingga 4 pagi.

Katanya BN menerima banyak aduan mengenai sepanduk terbabit daripada para petugas di pusat-pusat daerah mengundi di seluruh kawasan Mahkota.

"Kami yakin bukan pihak kami yang buat, tapi tentunya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada media di Bililk Gerakan Kerajaan Perpaduan.

Turut hadir Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, dan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Bagharib Ali.

Ahmad yang juga bekas setiausaha agung Umno itu berkata sepanduk berkenaan menggunakan bahasa Melayu dan Cina.

Antara lain ia mengucapkan tahniah kepada calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, kononnya kerana berjaya menjadi ketua Umno Kluang. Mengiringi kenyataan tersebut ialah Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

"Ini (memenangkan calon PN) ialah bagi mengajar Umno yang angkuh. Keluar mengundi. Tolak Umno/BN," kata sepanduk berkenaan.

Ahmad memberitahu sepanduk sebegitu dinaikkan di pelbagai lokasi di seluruh Mahkota.

BN, katanya, akan mengarahkan ahlinya untuk membuat laporan kepada polis kerana percaya ia menyalahi peraturan pilihan raya. Antara lain kerana tidak memaparkan nama pihak yang mengeluarkannya.

Pada masa sama Ahmad menggesa tidak terpengaruh dengan insiden berkenaan.


11.25 pagi - Ketika mahu meninggalkan pusat pengundian di SJK(C) Chong Eng, calon PN ditahan oleh sepasang ibu dengan anaknya yang meminta untuk bergambar bersama.

Mohamad Haizan Jaafar yang lebih dikenali sebagai Coach Haizan tidak menghampakan permintaan tersebut dan kelihatan tersenyum lebar memberikan aksi di depan lensa kamera.


11.08 pagi - Mohamad Haizan Jaafar tiba untuk melihat dari dekat proses pengundian yang berlangsung di SJK(C) Chong Eng.

Calon PN itu tiba bersama dua yang lain.

Sekolah berkenaan menjadi pusat pengundian bagi kawasan Bandar Tengah yang menjadi daerah mengundi terbesar untuk pemilih Cina di Mahkota.


10.20 pagi - Calon yang dipertaruhkan PN, Mohamad Haizan Jaafar mengundi di Sek Keb Kampung Melayu kira-kira jam 10.10 pagi.

Dia yang lebih dikenali sebagai Coach Haizan tiba berseorangan di pusat pengundian tersebut.

Semasa berbaris untuk menunggu giliran, bekas pemain bola sepak itu menggunakan ruang yang ada dengan bertanya khabar dengan pengundi lain.

Katanya selepas ini dia bercadang untuk menziarahi ibu mentuanya di Simpang Renggam.

"Harapan saya, insha-Allah, kalau tuhan izinkan, saya menang," katanya kepada media selepas mengundi.


10.15 pagi - Kadar peratusan pengundi yang keluar untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing menunjukkan peningkatan.

Menurut SPR sehingga jam 10 pagi tadi 16.56 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar sudah mengundi.


9:55 pagi - Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom tiba untuk melihat proses pengundian yang berlangsung di Sek Keb Kampung Melayu ditemani beberapa pegawai agensi berkenaan.


9.33 pagi - Suruhanjaya Pilihan Raya memberitahu, setakat jam 9 pagi tadi, baru 8.89 peratus daripada keseluruhan pemilih sudah keluar mengundi.


8.55 pagi - Calon BN Syed Hussien Syed Abdullah tiba di SMK Seri Perdana untuk mengundi. Pemimpin Pemuda Umno berusia 40 tahun itu sempat melambai ke arah orang ramai sebelum menunaikan tanggungjawabnya.

Dia juga meluangkan masa sejenak untuk bertanya khabar kepada seorang ibu muda - berusia 19 tahun - yang mengundi buat pertama kali.

Selepas itu Syed Hussein bertemu dengan wartawan dan menyampaikan pesanan agar orang ramai keluar mengundi segera.

"Kepada semua pengundi N29 (DUN Mahkota) di mana jua anda berada, ingatlah bahawa hari ini adalah hari untuk anda membuat keputusan demi masa depan kita semua," katanya.


8 pagi, Jalan Nyior - Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi tiba di SMK Seri Perdana dan sempat membantu seorang menolak seorang pengundi wanita yang berkerusi roda.

Onn Hafiz membantu wanita terbabit sehingga ke pintu pagar sekolah berkenaan.


7.50 pagi, Jalan Nyior - Seorang surirumah, Kong Ah Mui, 61, berjalan selama 15 minit dari rumahnya untuk membuang undi pagi ini.

Dia yang mempunyai enam orang anak bagaimanapun tidak pasti sama ada mereka akan pulang ke Mahkota untuk mengundi atau sebaliknya.

Kata Kong, anak-anaknya bekerja di luar bagi membantu dia dan suami yang tidak bekerja.

"Saya datang awal kerana suami saya perlukan seseorang untuk menjaganya, jadi saya akan terus pulang selepas ini," katanya.


Dua puluh pusat mengundi bersama 109 saluran mula dibuka tepat jam 8 pagi ini untuk membuka ruang kepada 61,247 pemilih berdaftar mengangkat wakil rakyat baru mereka.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya sudah mengeluarkan 607 kertas undi pos pada 15 Sept.

Pengundian awal pula berlangsung pada 24 Sept untuk 4,437 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan masing-masing, serta anggota polis di tiga pusat pengundian awal.

Secara keseluruhan terdapat 66,318 pengundi di DUN Mahkota dengan 56 peratus daripadanya adalah Melayu, diikuti Cina (34 peratus), dan India (lapan peratus).