SU Agung PBB seru hapuskan senjata nuklear
GLOBAL | Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran mengenai ketegangan global yang semakin meningkat serta percambahan semula senjata nuklear, lapor Xinhua.
Beliau menyampaikan mesej ini pada sesi ke-79 Perhimpunan Agung PBB, sempena Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keseluruhan Senjata Nuklear ke-10.
Guterres menekankan bahawa perpecahan geopolitik dan kurangnya kepercayaan antara negara-negara telah meningkatkan ketegangan dan mencetuskan perlumbaan senjata nuklear yang baru.
Beliau menyeru komuniti antarabangsa untuk bersatu menyampaikan mesej yang jelas iaitu satu-satunya cara untuk menghapuskan ancaman nuklear adalah dengan menghapuskan senjata nuklear sepenuhnya.
Setiausaha agung itu juga menekankan bahawa perlucutan senjata dan usaha untuk menghentikan percambahan senjata nuklear saling berkaitan—kemajuan dalam satu bidang akan mendorong kemajuan dalam bidang yang lain.
"Negara-negara perlu bertindak segera untuk mencapai kedua-dua matlamat ini," tegasnya.
Guterres turut menyeru negara-negara yang memiliki senjata nuklear untuk menjadi teladan termasuk menghormati komitmen perlucutan senjata dan berjanji untuk tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear.
Beliau juga menekankan keperluan untuk mengukuhkan dan menyesuaikan dengan perjanjian sedia ada yang bertujuan menghentikan penyebaran dan ujian senjata nuklear, terutama sekali dalam menghadapi kemajuan teknologi yang boleh meningkatkan ancaman.
"Masa depan kita bergantung pada tindakan ini. Mari kita hapuskan senjata nuklear dari dunia kita untuk selamanya," katanya.
- Bernama-Xinhua
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai