Anak dipukul mati - setahun setengah menanti keadilan
Seorang pelajar 22 tahun ditemui meninggal dunia dalam sebuah surau di Mersing, Johor pada 19 Disember 2022, sehari selepas hilang dari asrama.
Di badan Muhammad Atif Abu Bakar terdapat 53 kecederaan.
Kematian disebabkan oleh asfiksia trauma atau tekanan pada dada yang mengganggu aliran darah dari jantung.
Selepas lebih setahun setengah siasatan polis, keluarga akhirnya diberitahu tiada tindakan lanjut akan diambil.
Mereka juga dinasihatkan untuk merujuk kepada majistret kerana pihak berkuasa memutuskan untuk tidak menyiasat perkara itu.
Bagi keluarga mangsa, keputusan itu tidak dapat diterima.
Mengembara lebih 350 kilometer dari kampung halaman, mereka mengadakan sidang media bersama bersama peguam dan NGO hak asasi manusia Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) di Petaling Jaya.
Mengesyaki anaknya dipukul orang ramai hingga mati, Abu Bakar Ja’afar, 62, berkata allahyarham berhak mendapat pembelaan meskipun didakwa tidak waras semasa kejadian.
“Tapi dah lama sangat dah kes ini, tak tahu cerita apa. Pihak asrama pun tak ada maklumkan apa-apa, dia suruh saya ambil laporan (berkaitan Atif). Semua saya pergi tapi senyap saja, tiada perkembangan.
“Saya nak tahu apa punca anak saya meninggal. Dengan kesan pukul semua, sebab laporan forensik maklumkan sebab kematian dia berpunca daripada satu tekanan hingga menyebabkan hilang oksigen selepas bedah siasat.
“Jadi, siapa penyebab punca tekanan tersebut? Saya nak tahu,” katanya hari ini.
Abu Bakar berkata dia selama ini memberikan kepercayaan kepada polis untuk menyiasat.
“Tapi dah nak masuk dua tahun. Anak sulung saya kata tak boleh jadi macam ini, senyap saja. Sebab saya dimaklumkan dah sembilan ke 10 orang yang ditangkap.
“Saya yakin sungguh pihak polis nak tolong saya tapi saya tunggu-tunggu sampai sekarang tak ada keputusan apa. Senyap,” katanya.
Mengimbas kejadian sedih itu, Abu Bakar berkata sehari sebelum kematian, Atif menghubunginya dan meminta menjemputnya dari asrama pada keesokan hari.
Bagaimanapun, Atif keluar asrama terlebih dahulu dan ditemui mati dalam surau Surau Taman Wawasan–kira-kira 15 kilometer dari asramanya di Institut Latihan Perindustrian Mersing.
Sementara itu, abang allahyarham, Muhammad Aiman, 32, berkata sebelum ini pihak polis memaklumkan bahawa adiknya itu tidak waras ketika kejadian.
Katanya, dia diberitahu arwah membuka pakaian, mengganggu orang ramai dan menendang motosikal lalu-lalang sebelum menghilangkan diri ke dalam hutan di Mersing.
Bagaimanapun, setelah seharian mencari, mangsa akhirnya ditemui tidak lagi bernafas.
Menurut keluarga, walaupun siasatan dan tangkapan dibuat tidak lama selepas kematian, tiada lagi perkembangan sehinggalah mereka baru-baru ini diminta membuat laporan polis baru.
Laporan itu dibuat pada 15 September 2024.
Pada hari yang sama polis mengeluarkan keputusan bahawa tiada siasatan lanjut dan pengadu diminta merujuk kepada majistret.
Mereka tidak membuat laporan sebelum ini kerana merasakan inisiatif itu diambil oleh pihak berkuasa sendiri.
Polis tak tahu undang-undang, kata peguam
Sementara itu, Pengerusi Edict M Visvanathan yang juga peguam keluarga mempersoalkan tindakan pihak polis hampir dua tahun selepas kejadian.
Lebih malang lagi, Sanjay berkata, apabila polis meminta keluarga merujuk majistret untuk tindakan selanjutnya, tindakan yang menurutnya “tidak tahu undang-undang”.
Katanya, mengikut Seksyen 13 Kanun Prosedur Jenayah, apabila berlaku kematian mencurigakan atau tidak diketahui punca, dengan serta merta maklumat itu harus disalurkan kepada majistret atau koroner untuk diambil tindakan.
“Jadi, dalam kes ini pihak polis pun tak tahu berkenaan undang-undang,” katanya.
Dia juga mendesak Jabatan Integriti Pematuhan Standard polis bertindak terhadap polis yang terlibat dengan siasatan atas dakwaan tidak dijalankan tugas mengikut undang-undang.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan polis Johor dan Mersing berkaitan dakwaan keluarga.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai