Sanusi mohon ampun pada Sultan Selangor
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah atas kenyataan yang dibuatnya semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Julai tahun lalu.
Sanusi, yang didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 ekoran kenyataan itu, membuat permohonan maaf tersebut dalam sidang media hari ini.
“Patik dengan penuh hormat dan takzim merafak sembah memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah, di atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Gombak, Selangor.
“Patik sedari kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan tuanku,” katanya.
Sanusi berkata dia kesal dengan kesan negatif yang timbul daripada kenyataan itu dan dia tidak berniat untuk mempersenda Sultan Sharafuddin yang amat dihormati dan disanjunginya.
Pada Julai tahun lalu, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN dalam satu ceramah mendakwa seseorang sultan yang "hebat" tidak akan melantik orang seperti Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor.
Ia mendorong pelbagai pihak termasuk ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis dan menggesa tindakan diambil ke atas Sanusi.
Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam sidang media hari ini, Sanusi berkata dia tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang “tidak beradab, menghina dan tidak sopan” walaupun di tengah kehangatan kempen pilihan raya “di negeri orang”.
“Dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada tuanku Sultan Selangor, menteri besar Selangor dan rakyat Selangor atas keterlanjuran kata-kata patik.
“Patik berjanji akan lebih berhati-hati membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan setiap ucapan patik selaras dengan adab sopan dan budaya Melayu kita, yang sentiasa menjunjung tinggi raja-raja Melayu dan institusi raja,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai