Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Ratusan siswa UITM Raub gagal dapat penempatan semula di asrama

Ratusan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Pahang dikatakan gagal mendapat tempat di asrama untuk semester baru yang bermula bulan depan.

Mereka mengaitkan masalah itu dengan pengambilan pelajar baru yang didakwa terlalu ramai, sehingga tiada tempat untuk pelajar sedia ada.

Perkara itu diadukan kepada Malaysiakini baru-baru ini dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan kerana bimbang kemungkinan dikenakan tindakan oleh universiti.

Seorang pelajar dari Kelantan mempertikaikan ‘sistem kupon’ (merit) yang digunakan untuk menentukan siapa yang akan mendapat tempat di kolej kediaman.

“Keputusan rayuan penginapan di kolej baru-baru ini tidak memberangsangkan.

“Kami tidak mendapat kolej walaupun kami aktif dalam bidang akademik dan kokurikulum,” kata pelajar tahun kedua itu.

Katanya, dia kini dalam proses membuat rayuan.

Sementara, seorang ibu dari Kuantan–lebih 200km dari kampus itu– berkata dia tertekan kerana anaknya belum mendapat rumah sewa.

“Saya dan anak saya pergi ke Raub mencari (rumah sewa) dan berjumpa dengan tuan rumah, berpandukan senarai rumah sewa (yang dibekalkan) UiTM. 

“Keperluan mendesak dan permintaan tinggi daripada ibu bapa pelajar lain menyebabkan tuan rumah sendiri tidak dapat memberi keputusan pada masa itu,” katanya.

Katanya, dia juga memohon bantuan rakan-rakan di Raub tetapi belum berjaya.

Wanita 47 tahun itu turut risau tentang keselamatan anak-anak yang tinggal di luar kampus.

Selain itu, penjual kuih itu juga berkata tidak mampu menyediakan motosikal bagi memudahkan anaknya berulang antara rumah ke kampus.

Seorang pelajar tahun akhir pula berkata dia sukar mendapat rumah sewa kerana mahu menetap untuk enam bulan sahaja.

“Kami adalah pelajar tahun akhir yang tinggal (baki) enam bulan sahaja untuk menghabiskan pelajaran, kami juga tidak mendapat kolej. 

“Siapa yang mahu menyewakan rumah sewa selama enam bulan untuk kami,” kata pelajar itu.

Katanya, dia ingin sangat terus menetap di asrama kerana harganya yang murah.

Salah seorang pelajar dari Pahang pula berkata sangat kecewa apabila dia tidak mendapat penempatan di kolej

“Fuh, feel (perasaan) dia lain bila duduk di kolej,” katanya mengimbau kenangan dua tahun menetap di kolej kediaman.

Antara kenangan itu, katanya, termasuk bersukan dengan kawan-kawan di waktu petang dan belajar bersama-sama.

Dia justeru mencadangkan agar pihak pengurusan mengambil pelajar baru mengikut kapasiti agar tidak berlaku lambakan pelajar.

Dia juga mengingatkan bahawa Raub hanya sebuah pekan kecil dan tidak mempunyai banyak rumah sewa.

Malaysiakini telah menghubungi pelbagai pihak di UiTM Raub bagi mendapatkan komen mereka tetapi tidak berjawab setakat ini.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kampus itu juga enggan mengulas ketika dihubungi.

Bagaimanapun, seorang pelajar memberitahu portal ini bahawa MPP telah pun mengeluarkan pemberitahuan bahawa ada perbincangan dibuat.

Setakat itu, menurut makluman yang dikongsi dengan Malaysiakini itu, pelajar yang tinggal di luar kampus dibenarkan membawa kenderaan bagi memudahkan pergerakan.