Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

ULASAN | Makna banduan terhormat

Abu al-Abbas al-Qudsi mengupah beberapa orang saksi untuk mengesahkan yang kemaluannya kecut-merecut. Justeru, konon, dia pun tidak boleh lagi melakukan hubungan ranjang.

Dia sanggup melakukan semua itu dengan satu tujuan—memburuk dan menghancurkan musuhnya, Burhan al-Din al-Biqa’i. Mereka berdua awalnya sahabat dekat. Bahkan, Abu al-Abbas menganggap Burhan sebagai guru tafsirnya sendiri.

Kemudian ketika hubungan renggang, dan sampai di satu ketika, Abu al-Abbas mengupah peguam untuk membawa kes ke depan hakim; mendakwa Burhan berhutang. Burhan menafikan. Mulai saat itu dia tahu, selain tuduhan mengamalkan seks songsang dan berhutang; semua kata-kata Abu al-Abbas kepadanya adalah palsu.

Menurut kisah yang dikaji oleh sarjana sejarah tafsir al-Quran asal Lebanon, Profesor Dr Walid Ahmad Saleh, pergeseran hubungan antara Abu al-Abbas dengan Burhan memang telah sampai ke satu tahap yang menjijikkan. Abu al-Abbas bahkan menuduh Burhan merayu untuk melakukan hubungan ranjang bersama—dan kerana itu, bagi membuktikan konon dia tidak bersalah, sanggup dicarinya saksi-saksi untuk mengesahkan alat kelaminnya sudah mati suri.

Walhal sebelum berhijrah daripada Baitulmuqaddis ke Kaherah, dialah yang sebenarnya pengamal seks songsang—dan, bukan pula Burhan! Selain ahli tafsir, Burhan juga seorang yang amat tegas dengan hukum-hukum syariah. Dengan ketinggian ilmu itulah, dia awalnya tidak mahu ambil pusing dengan mulut jahat Abu al-Abbas. Dia hanya membawakan contoh kuda dan monyet—yang walaupun terlihat kecut-merecut, namun boleh pula menjadi besar-mengasar serta keras-mengeras semula. 

Demikianlah juga, katanya, dengan kelamin lelaki—termasuk miliknya Abu al-Abbas. Saiz, keadaan dan fungsi sesuatu masa alat kelamin seseorang bukan alasan yang seseorang itu tidak melakukan pembohongan dan fitnah.

Penduduk di kota Kaherah pun amat suka dengan gosip yang melibatkan Abu al-Abbas lawan Burhan. Menurut Walid lagi, mereka menjadikannya bahan hiburan. Kisah dendam, kebencian dan politik jahat oleh Abu al-Abbas ini berlaku pada sebuah empayar Muslim yang tidak kalah pentingnya dalam sejarah Islam, yakni dalam kerajaan Mamluk: 1250-1517. 

Selain pernah mencapai tahap kegemilangan ekonomi yang hebat, kerajaan Mamluk juga dikatakan pernah menjadi sebuah empayar Muslim dengan kekuatan tentera yang luar biasa. Akhirnya semua runtuh, sehingga hari ini pun, rata-rata Muslim sudah tidak kenal dan tidak tahu lagi, di mana letak duduknya wilayah dan kerajaan Mamluk itu?

Dan kisah fitnah oleh Abu al-Abbas terhadap Burhan muncul di hujung-hujung kekuasaan kerajaan Mamluk, yakni sekitar tahun 1450-an: sebelum 50-60 tahun kemudian, kerajaan itu hancur.

Persoalan fitnah yang menjadi ruji Muslim sehingga meruntuhkan masyarakat, negara dan tamadun juga terjadi di Andalusia. Bacalah nasib yang misalnya tertimpa kepada cendiakawan sehebat Ibnu Rushd. Di sisi lain, betapa terhormatnya Rushd di mata bangsa-bangsa Eropah, seorang pelukis agung Itali, Raffaello Sanzio da Urbino juga memasukkan sosok gambaran Rushd di dalam catan dinding yang masyhur, The School of Athens (1508-11).

Ibn Rushd dipencilkan ke Lucena

Di sana, sosok Rushd yang berserban dilukis bersama figur filasuf klasik Eropah seperti Plato, Socrates dan Aristotle. Di dekat Universiti Barcelona pula, arca sosok Ibnu Rushd juga didirikan demi mengenang sumbangan filsuf Muslim yang dimaksudkan kepada dunia pemikiran.

Dalam riwayatnya, selepas perang melawan Alphonse kesembilan dari Castille, pemerintah al-Mansor mengarahkan agar Rushd diasingkan dan dipencilkan ke kota Lucena. Sebelumnya, jawatan Rushd sebagai hakim di Seville juga dicopot.

Satu ketika dalam hayatnya, Rush bahkan mengungsi ke Moroko; bersembunyi di rumah anak muridnya, Moise Maimonides. Fitnah terhadap Rushd tidak terhenti di situ. Kebetulan di Moroko waktu itu ramai orang Yahudi, lantas musuh-musuh dan pencemburu Rushd membuat helah dan menuduh Rushd berdarah Yahudi pula.

Melirik lebih ke belakang, Muslim hari ini juga sedar yang tiga daripada empat khalifah ar-Rasyidin mati dibunuh. Khalifah terakhir, Ali Abi Talib, yakni menantu Nabi Muhammad SAW sendiri ditikam ketika mengerjakan solat Subuh. Dia dibunuh oleh seorang Khawarij, Abdurrahman bin Muljam pada tahun 661.

The School of Athens

Fitnah memang tidak hanya menghancurkan musuh sasaran, tapi kesan buruk yang lebih besar ialah kehancuran seluruh empayar. Melihat kepada sekian banyak sejarah Muslim di masa lalu itulah, maka orang-orang Melayu-Muslim di Malaysia wajar menjauhkan atau melawan sebarang bentuk politik fitnah.

Aneh sekali apabila Ketua Dewan Pemuda parti yang mendakwa sebagai “Islam”, Afnan Hamim Taib Azamudden, nampaknya masih seronok meneruskan politik fitnah yang diwariskan oleh PM ke-4, Dr Mahathir Mohamad. Sasarannya tetap ke muka Anwar Ibrahim.

Walaupun konon dia berselindung di sebalik keputusan mahkamah, apakah dia lupa konteks atau latar politik di penghujung 1990-an, memang ada bukti-bukti jelas yang Mahathir mahu menggulingkan Anwar dengan apa cara sekalipun?

Dalam himpunan PKR sempena 26 tahun Gerakan Reformasi hujung minggu lalu, Anwar tanpa basa-basi mengakui memang dia seorang bekas banduan—tapi “banduan terhormat.” Sejak ratusan atau ribuan tahun pun, Muslim umumnya sudah belajar betapa tiada hinanya melawan satu kuasa yang menjadikan fitnah sebagai alat politik. Lebih dua dekad, Anwar sedetik pun tidak pernah tunduk dengan politik jelek ala Abu al-Abbas yang diputarkan kembali oleh rejim Mahathir.

Demikianlah kita wajar juga bertanya, apakah ketua Pemuda PAS tidak pernah diajar apa erti, hukum dan kesan sebuah fitnah? Apakah kini konon sebagai wakil rakyat, dia sudah merasa besar dengan tidak sedikit pun malu kalau suatu saat nanti diludah orang kerana kelancangan mulutnya? Tidakkah dia sedar, semua itu terus dilakukann bukan lagi di era anak-anak Anwar masih kecil, tapi kini ke era cucu-cucu Anwar-Azizah pula yang sudah mampu membaca surat khabar dan berita!

Sang pengatur komplotan

Kalau Pemuda PAS memang belum puas, saya sarankan agar usah dimainkan modal lain walaupun selepas muktamar lalu. Terus sahaja jadi penyambung lidah fitnah era PM Mahathir, sampailah pilihan raya umum nanti. Kita mahu sama-sama melihat hukuman yang bakal dijatuhkan oleh rakyat, khusunya oleh pengundi Melayu-Islam terhadap PAS, kelak.

Bukan kerana apa, ramai sudah di hujung hayat sang pengatur komplotan, termasuk nasib orang yang memukul Anwar di dalam lokap pada malam 20 September 1998; akhirnya tercampak hina dan diingat orang sebagai bangkai sejarah semata. Manusia sehebat Mahathir pun hangus wangnya taruhan di Langkawi, tempohari.

Bak kata orang tua-tua: sekali layar terkembang, surut kita berpantang! Fitnah yang dipanjangkan hari ini nampaknya bukan soal Anwar lagi. Fitnah adalah tindakan untuk menghancurkan bangsa ini keseluruhannya. Maka, baik Melayu atau rakyat Malaysia amnya—selagi kita bernama manusia—sesiapa pun yang mahu menghancurkan bangsa ini dengan fitnah dan politik keji, akan ditentang sehabis-habisnya.

Biarlah pemfitnah itu menjadi arang, tidak sekali-kali direlakan bangsa menjadi abu. Ayuh teruskan, dan tunggulah masa itu tiba.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.