Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Dzulkefly pertahan cadangan perluas bahagian swasta di hospital k’jaan

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mempertahankan cadangan meluaskan bahagian swasta di hospital kerajaan - atau perkhidmatan pesakit bayar penuh (PPBP) - sebagai sebahagian daripada model hibrid ‘Rakan KKM’.

Ia selepas cadangan itu, yang bertujuan menangani isu kemampanan kewangan perkhidmatan kesihatan awam di Malaysia - dikritik oleh sejumlah warganet.

Ada yang berpandangan ia akan menjejaskan aspek penjagaan kesihatan sejagat, selain dana untuk kesihatan awam boleh diraih dengan memperkenalkan cukai kekayaan.

Mengulas perkara itu di X, Dzulkefly menegaskan rancangan itu tidak akan memberi kesan kepada perkhidmatan rawatan bersubsidi untuk orang ramai di hospital kerajaan.

“Bayaran RM1 atau RM5 kekal - tiada kenaikan bayaran,” katanya, merujuk bayaran untuk rawatan biasa dan rawatan pakar.

‘Namun, persoalan berkenaan kemampanan kekal ada. Pendanaan kesihatan adalah tentang mempelbagaikan sumber (pendapatan) dan memberikan nilai yang lebih baik kepada setiap RM1 yang dibayar.

“(Ia) memerlukan kreativiti dan inovasi. Perubahan akan tiba,” katanya, sambil menambah Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengumumkan perkara itu tidak lama lagi.

Pesakit bayar penuh

Ketika bercakap di Kongres Barah Sedunia di Geneva minggu lalu, Dzulkefly berkata KKM sedang menimbang untuk mewujudkan “bahagian swasta” di hospital awam, di mana pesakit menerima rawatan dengan membuat bayaran penuh, dalam usaha meningkatkan perolehan kementerian, menurut laporan portal kesihatan Codeblue.

Pada masa ini, PPBP ditawarkan di 10 hospital, di mana pesakit boleh membayar untuk dirawat oleh doktor pakar di wad kelas pertama atau wad eksekutif dengan kadar harga yang lebih kompetitif berbanding hospital swasta.

Di Selangor dan kawasan sekitar, PPBP disediakan di Hospital Putrajaya, Ampang, Selayang, Serdang dan Sungai Buloh.

Ia juga disediakan di Hospital Pulau Pinang, Hospital Queen Elizabeth II Kota Kinabalu, Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru dan Pusat Jantung Sarawak di Kuching.

Dzulkefly bagaimanapun tidak menyatakan anggaran hasil yang dapat diraih menerusi model Rakan KKM, namun pada 2018 PPBP telah menjana sebanyak RM22 juta.

Perbelanjaan KKM pada tahun yang sama adalah RM26.5 bilion.

Ketika kongres di Geneva, Dzulkefly juga berkata hospital kerajaan memiliki lebihan kapasiti dalam beberapa aspek, antaranya penggunaan mesin MRI yang boleh dijadikan sumber untuk menjana pendapatan menerusi model Rakan KKM.

“Saya terutamanya ingin melakukan inovasi…untuk jana pendapatan daripada bahagian swasta di hospital kerajaan, di mana saya lihat ada lebihan kapasiti (seperti) MRI, imbasan CT, doktor pakar yang sanggup bekerja lebih untuk dapat pendapatan lebih, dan mereka kekal di dalam sektor awam.

“Selain itu, saya sedang buat outsourcing, maksudnya sekarang ada perkhidmatan nefrologi, kardiotorasik, kardiologi dan radiologi, yang saya dapat outsource. Saya tak boleh bina lebih banyak bangunan. Jadi saya bawa mereka datang dan libatkan sektor swasta, namun dibayar pada kadar kos kami.

“Usaha sama awam-swasta amat penting untuk kita capai matlamat itu, anda dapat beri khidmat kepada golongan B40 di hospital kerajaan, anda dapat beri khidmat kepada golongan M40 menerusi bahagian swasta (hospital kerajaan) yang tidak semahal sektor swasta, dan kemudian golongan T20, anda dapat buat inovasi menerusi insurans kesihatan persendirian,” katanya lagi.