Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Kekal komited perjuangan DAP, pesan Chow ketika serah 'baton'

Chow Kon Yeow yang akan menyerahkan batonnya kepada kepimpinan baru setelah berkhidmat selama 25 tahun sebagai pengerusi DAP Pulau Pinang meminta ketua dan pasukan yang dipilih oleh perwakilan hari ini dalam pemilihan parti negeri supaya kekal bersatu demi memastikan parti itu terus relevan dalam politik Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata perwakilan hari ini mengundi untuk masa depan parti agar terus relevan sebagai parti pilihan untuk kekal menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Berikutan penyerahan baton kepimpinan hari ini, saya meminta kita semua supaya meletakkan kepentingan parti dan rakyat mengatasi kepentingan diri sendiri. Banyak yang telah dicapai dan kita mesti terus cekal bersama dedikasi dan komitmen.

“Kita mesti berpandukan visi dan misi parti dan menghormati rakyat.

"Jangan ambil mudah sesuatu perkara dan kekal dengan perjuangan parti,” katanya semasa berucap pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Pulau Pinang di Arena Setia SPICE, Bayan Lepas hari ini.

Chow yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP menyatakan bahawa DAP Pulau Pinang telah melalui transformasi besar sejak 25 tahun lepas terutamanya setelah memegang kuasa kerajaan negeri pada 2008 selain berkembang dengan pesat daripada hanya 20 cawangan kepada hampir 300 cawangan sekarang.

Beliau juga menyatakan parti itu telah menjadi lebih kuat dari segi organisasi, sumber kewangan, publisiti dan sokongan rakyat dengan terus menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama rakan gabungan untuk penggal keempat.

Mengimbau kembali zaman awalnya, Chow berkata beliau berasa bertuah berkhidmat sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang selama 25 tahun selepas bencana pilihan raya Tanjong 3 dan kekalahan mengejut Tan Sri Lim Kit Siang dan Datuk Seri Karpal Singh pada pilihan raya umum 1999.

“Saya berusia 41 tahun ketika itu dan tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan politik DAP terletak di bahu dan pasukan saya.

“Kami berada di pihak pembangkang dan sangat mencabar untuk mengekalkan semangat juang ketika itu.

“Saya sangat berterima kasih kepada parti dan perwakilan kerana memberi sokongan dan peluang kepada saya untuk memimpin negeri ini selama 25 tahun.

“Sebelum itu, saya juga telah berkhidmat selama lapan tahun sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri,” tambah beliau.

Konvensyen Biasa Negeri DAP Pulau Pinang dirasmikan oleh penasihat parti Tan Kok Wai dan pemilihan parti negeri tahun ini yang dijadual diadakan semasa konvensyen itu menjadi tajuk utama selepas Chow mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang.

Chow yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang kelima mengambil alih kepimpinan parti negeri pada 2018 sebelum mengangkat sumpah untuk penggal kedua pada 13 Ogos tahun lepas.

Kira-kira 31 calon akan bertanding untuk 15 jawatan dalam Jawatankuasa DAP Pulau Pinang 2024/2027 termasuk Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai.

- Bernama