Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

ULASAN | OKU dipukul: AG jangan terus membisu - Suhakam

ULASAN | Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyatakan kebimbangan mendalam terhadap apa yang dilihat sebagai pengabaian berterusan terhadap isu hak asasi manusia yang kritikal dan menjejaskan komuniti rentan.

Ini walaupun terdapat seruan daripada pihak kami (Suhakam) serta seruan berulang kali daripada masyarakat sivil dan individu yang terjejas.

Khususnya, Suhakam merujuk kepada aduan serangan yang didakwa dilakukan terhadap Encik Ong In Keong, seorang pemandu teksi e-hailing yang merupakan orang kelainan upaya, oleh seorang pegawai polis.

Kejadian yang didakwa berlaku pada Mei 2024, kira-kira hampir empat bulan lalu. Namun, hingga kini, tiada tindakan pendakwaan diambil terhadap pegawai polis tersebut.

Suhakam mengulangi apa yang telah kami nyatakan dalam kenyataan media terdahulu pada 16 Ogos 2024.

Suhakam sangat kecewa Peguam Negara merangkap Pendakwa Raya membisu berkenaan isu sama ada tindakan pendakwaan akan diambil terhadap pegawai polis tersebut atau sebaliknya.

Jika Peguam Negara merangkap Pendakwa Raya berpendirian dia tidak berniat untuk mendakwa pegawai polis berkenaan, dia mesti mengumumkannya kepada umum dengan memberikan alasan yang jelas atas keputusan tidak mendakwa tersebut.

Sebaliknya, jika Peguam Negara merancang untuk mendakwa pegawai polis tersebut, dengan hormat, mengapa begitu lama untuk berbuat demikian, kerana ini kes serangan yang mudah di bawah Kanun Keseksaan.

Peguam Negara yang arif tidak perlu diingatkan keadilan yang tertangguh itu keadilan yang dinafikan kepada Encik Ong, mangsa yang didakwa.

Di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, setiap orang sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama di bawah undang-undang – dan ini termasuk Encik Ong.

Kami dengan tegas mengulangi apa yang kami katakan sebelum ini.

Tiada seorang pun patut dinafikan hak asasi manusianya, apatah lagi seseorang yang tergolong dalam komuniti rentan.

Memandangkan ini kes berkepentingan awam yang melibatkan orang kelainan upaya, ahli komuniti rentan, Peguam Negara, sebagai penjaga hati nurani awam mempunyai tanggungjawab perlembagaan dan moral untuk menangani isu ini secara terbuka.

Tadbir urus yang baik, prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang mengharapkan dia melakukan perkara itu.

Berdiam diri bukanlah pilihan bagi Peguam Negara.

Tidak sepatutnya wujud persepsi umum bahawa sistem keadilan jenayah telah dikompromi atau dilemahkan.

Suhakam menunggu respons daripada Peguam Negara.


SUHAKAM Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Artikel ini asalnya kenyataan akhbar Suhakam dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.