Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

‘Melayu hilang kuasa politik jika Akta Pembaharuan Semula Bandar lulus'

Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), yang kini di peringkat akhir sebelum dibentang di Parlimen, berisiko menjadikan orang Melayu hilang kuasa politik dan menjadi minoriti, menurut Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad.

Iskandar berkata perangkaan URA oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diterajui pemimpin DAP, Nga Kor Ming seperti adaudang di sebalik batu”.

“Kita dah tengok bagaimana kampung-kampung tradisi dan warisan Melayu, contohnya di Batu Uban dan lain-lain di Pulau Pinang semua hilang habis dibangunkan dengan pembangunan baru.

“Yang akhir melihat kuasa orang Melayu, kedudukan orang Melayu hilang. Kenapa hilang? Kerana kita tidak lagi menjadi majoriti,” kata bekas Exco Selangor itu seperti dipetik Harakahdaily.

Iskandar memberi contoh satu pembangunan semula kawasan penduduk Melayu, daripada 500 unit kediaman kepada penempatan 2,000 unit.

Katanya, walaupun penduduk asal turut mendapat unit di projek kediaman baru itu, baki 1,500 unit akan dihuni oleh penduduk campuran dan mengubah keadaan asal penempatan di kawasan itu.

“Itu yang kenapa kita merasakan terdapat satu agenda yang tidak baik kepada akta ini. Tuan-puan sekalian, perumahan adalah satu instrumen politik yang paling berkesan untuk mengekalkan kuasa,” katanya lagi.

Nga Kor Ming

Iskandar juga mendakwa pentadbiran lalu menjadikan orang Melayu sebagai majoriti di sesuatu kawasan dengan menyediakan rumah mampu milik berharga bawah RM100,000 kepada mereka, namun kerajaan sekarang melakukan sebaliknya dengan pembinaan rumah berharga lebih RM500,000, yang tidak mampu dimiliki orang Melayu.

Terdahulu, Nga berkata sebaik saja URA diluluskan Parlimen, ia akan membuka peluang pelaburan yang besar dan menjana ratusan bilion Nilai Pembangunan Kasar (GDV).

‘Agenda DAP’

Iskandar berkata URA hanya mengandungi peruntukan “teknikal” seperti perpindahan, pampasan dan penggantian, yang menurutnya perkara kecil berbanding aspek komposisi kaum.

Dia mendakwa golongan miskin bandar akan paling terkesan dengan akta itu, apabila mereka perlu mempertahankan kediaman mereka kerana jika keluar, mereka tidak akan dapat kembali.

Sebagai contoh, dia membangkitkan perobohan kampung-kampung Melayu di Singapura untuk “pembangunan” dan menjadikan mereka minoriti di republik itu.

Selain itu, katanya lagi, Singapura mengamalkan dasar Etnic Integration Programme (EIP) di bawah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dengan orang Melayu ditetapkan hanya 28 peratus di satu-satu penempatan.

Dia mendakwa DAP juga melaksanakan dasar yang sama di Malaysia menerusi URA.

Iskandar kemudian mencadangkan satu koperasi diwujudkan untuk “menyelamatkan” tanah dan hartanah milik orang Melayu seperti rumah lama, sawah dan ladang.