Logo Malaysiakini

Saksi: Gnanaraja kata ‘fantastic Dato’ lepas jadi orang tengah untuk Guan Eng

Ahli perniagaan G Gnanaraja didakwa menghantar pesanan Whatsapp berbunyi “fantastic Dato” selepas mengetahui dia dipilih oleh Lim Guan eng untuk menjadi orang tengah bagi menyerahkan suapan berjumlah RM2 juta kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang itu tujuh tahun lalu.

Saksi pendakwaan, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli (gambar utama) membuat dakwaan itu ketika prosiding mencabar kredibilitinya sebagai saksi yang dimulakan Lim, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Zarul yang merupakan pengarah Consortium Zenith Construction berkata demikian ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berhubung dakwaan pesanan Whatsapp yang dihantar Gnanaraja kepadanya.

Consortium Zenith Construction adalah syarikat yang diberikan kontrak untuk projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul menjelaskan reaksi Gnanaraja berkenaan hasil pertemuannya dengan Lim.

Dia merujuk pertemuan dengan pemimpin DAP itu, didakwa berhubung sama ada Gnanaraja perlu bertindak sebagai orang tengah atau tidak.

Wan Shaharuddin: Mesej siapa (yang hantar) ‘Fantastic Dato. Penang CM done ah Dato’?

Zarul: Mesej Gnanaraja.

Wan Shaharuddin: Kenapa dia cakap begitu?

Zarul: Gnanaraja tunggu keputusan Lim Guan Eng untuk gunakannya sebagai perantara.

Zarul berkata pemilihan perkataan Gnanaraja disebabkan dia diberi peluang untuk mempunyai hubungan yang baik dengan Lim.

Dia juga mendakwa memerlukan orang tengah untuk menyalurkan suapan kepada Lim kerana ketika itu SPRM sedang memantaunya.

G Gnanaraja

Dalam keterangannya, Zarul mendakwa Lim setuju dengan cadangan agar Gnanaraja menjadi orang tengah dalam satu pertemuan pada 17 Ogos 2017.

“Saya beritahu Lim yang saya syorkan Gnanaraja dilantik sebagai perantara dan penerima wang untuknya.

“Saya beritahu Lim yang Gnanaraja adalah orang BN yang baik dengan perdana menteri (ketika itu) dan saya rasa dia orang paling layak jadi perantara,” katanya.

Dakwanya lagi, Lim setuju dengan perkara itu dan berkata akan ke Kuala Lumpur untuk berjumpa Gnanaraja.

Zarul dan Gnanaraja adalah saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah ke atas Lim berkaitan projek terowong dasar laut.

Ketika prosiding hari ini, suasana beberapa kali bertukar panas apabila peguam Haijan Omar membantah soalan-soalan yang dikemukakan Wan Shaharuddin kepada Zarul.

Haijan berkata soalan pendakwaan bertentangan dengan Akta Keterangan 1950.

Hakim Azura Alwi kemudian mengarahkan pendakwaan untuk merangka semula soalan mereka.

Pasukan pembelaan berhujah keterangan Zarul tidak boleh dipercayai kerana dia didakwa memberi keterangan berbeza berkenaan perkara itu dalam satu prosiding berlainan di mahkamah sesyen Shah Alam.

Prosiding bersambung 2 Oktober ini.

[Baca berita asal]