Logo Malaysiakini

Pakar: Rakyat M'sia terlibat penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia

Walaupun ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan penipuan dalam talian, laporan mengenai jenayah antara negara di Asia Tenggara mendedahkan realiti yang lebih kompleks - rakyat Malaysia juga terlibat secara mendalam menjalankan operasi haram tersebut.

Laporan, “Jenayah Transnasional di Asia Tenggara: Ancaman yang semakin meningkat kepada keamanan dan keselamatan global”, memperincikan bagaimana rangkaian jenayah membina entiti penipuan di Myanmar, Kemboja dan Laos serta melibatkan rakyat Malaysia dalam pengurusan operasi dan hasil penipuan mereka.

"Kumpulan kajian kanan yang terlibat dalam penyediaan laporan ini meneliti secara mendalam puluhan kompleks yang menjadi tempat operasi penipuan buruh paksa di seluruh rantau ini.

"Mereka mendapati rangkaian jenayah di sebalik kompleks-kompleks ini telah membina jaringan hubungan di seluruh rantau ini, termasuk di Malaysia.

"Kumpulan kajian ini mengenal pasti pembabitan warganegara Malaysia dalam operasi sekurang-kurangnya di dua bandar kasino yang dikenali di Myanmar," kata Pengarah Negara United State Institute of People (Usip), Burma Asia Center Jason Tower.

Dalam proses melengkapkan kajian mengenai bandar kasino di Myanmar, didapati kumpulan jenayah dari China yang beroperasi di sana terlibat secara mendalam dalam aktiviti haram di tujuh negara: Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Filipina, Malaysia dan Singapura.

Ini mendorong Usip untuk memperluaskan fokusnya ke rantau Asia Tenggara yang lebih luas apabila mereka menemui rangkaian jenayah yang kompleks dan semakin berkembang.

Kumpulan kajian tersebut dibentuk untuk meneroka teknik dan teknologi yang digunakan oleh rangkaian jenayah ini bagi meluaskan pengaruh mereka di peringkat global.

“Salah satu bandar kasino ini yang terletak di sempadan Thai-Myanmar malah dilancarkan di Kuala Lumpur oleh seorang tokoh terkemuka dalam sindiket jenayah transnasional China.

“Pasukan pengurusan di bandar kasino yang lain terdiri daripada rakyat Malaysia serta warga China.”

"Terdapat hubungan signifikan Malaysia dalam operasi kasino ini dan perusahaan jenayah yang berkaitan.

“Ini bermakna rakyat Malaysia terlibat sama ada sebagai pengendali operasi haram ini dan sebagai mangsa, terutamanya dalam pemerdagangan manusia dan penipuan dalam talian,” katanya.

Sementara itu kajian berkenaan juga menunjukkan kawasan yang menjadi lokasi bandar-bandar kasino berkenaan memang dilaporkan menjadi pangkalan untuk operasi penipuan siber yang melibatkan mangsa pemerdagangan manusia.

Ia mencerminkan landskap jenayah serantau yang lebih luas dengan tadbir urus yang lemah membolehkan operasi tersebut berlangsung.

Laporan itu mengenal pasti beberapa elemen utama yang menjejaskan keupayaan penguatkuasaan undang-undang untuk menangani pelaku sebenar.

Ia melibatkan amalan rasuah membabitkan peringkat atasan hingga ke bawah, selain hubungan jenayah terancang dengan institusi kerajaan seperti polis, kastam dan jabatan lain bagi membantu melindungi operasi berkenaan.

Rangkaian penjenayah juga menikmati perlindungan politik yang dijamin melalui sistem naungan Malaysia, menjadikan kegiatan tersebut sukar untuk menyasarkan dalang sebenar, dan pada masa sama penggerak di peringkat bawahan menjadi kambing hitam.

Laporan Usip 2024 yang diterbitkan pada bulan Mei ialah analisis penyiasatan komprehensif mengenai aktiviti geopolitik dan jenayah, yang bertujuan untuk menyediakan penggubal dasar dengan cerapan kritikal untuk membangunkan penyelesaian yang lebih berkesan.

[Baca berita penuh]