Logo Malaysiakini

Bank Negara dijangka tidak ikuti penurunan kadar faedah Fed AS

Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka tidak mengikuti langkah agresif Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang telah menurunkan kadar faedah sebanyak setengah mata pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) semalam.

Fed memutuskan untuk menurunkan Kadar Dana Fed (FFR) sebanyak 50 mata asas, menjadikannya kepada 4.75 peratus - 5.00 peratus daripada 5.25 peratus - 5.50 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ekonomi Malaysia, yang amat terbuka kepada perdagangan antarabangsa dan aliran modal, amat sensitif kepada faktor luaran.

“Oleh itu, sebarang tindakan dasar oleh BNM akan bergantung kepada prospek pertumbuhan global dan bagaimana ia memberi impak kepada permintaan luar Malaysia.

“Berdasarkan keadaan ekonomi global semasa, BNM mungkin cenderung kepada dasar yang lebih longgar jika pertumbuhan global memberikan risiko yang ketara kepada ekonomi domestik,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata baru-baru ini, Bank Indonesia (BI) telah menurunkan kadar faedah yang menjadi penanda aras sebanyak 25 mata asas kepada 6.00 peratus.

Menurut Hong Leong Investment Bank dalam nota penyelidikan, pihaknya menjangka BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) stabil pada 3.00 peratus untuk baki tahun ini berikutan inflasi kekal sederhana manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat susulan pelbagai sektor mencatatkan pemulihan disebabkan kesan asas yang rendah.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata jumlah eksport Malaysia kekal berdaya tahan, mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 12.3 peratus pada Julai berbanding 1.7 peratus pada Jun, didorong oleh prestasi kukuh dalam sektor utama seperti pertanian (32.8 peratus), pembuatan (10.6 peratus) dan perlombongan (10.2 peratus).

Beliau berkata eksport ke negara-negara utama seperti Amerika Syarikat (30.9 peratus), Kesatuan Eropah (14.2 peratus) dan Singapura (18.1 peratus) adalah kukuh walaupun penghantaran ke China merosot sebanyak 11.4 peratus.

“Oleh itu, kemungkinan pelonggaran dasar monetari di Malaysia kekal rendah. Selain itu, BNM terus berhati-hati mengenai risiko inflasi, terutamanya dengan kemungkinan rasionalisasi subsidi RON95,” katanya.

Lazimnya, katanya OPR lebih tinggi daripada FFR AS, dengan purata perbezaan sebanyak 111 mata asas.

Mohd Afzanizam berpendapat BNM dijangka mengekalkan perbezaan ini, yang boleh memberi manfaat kepada ringgit dengan menjadikan aset dalam denominasi ringgit lebih menarik kepada pelabur asing.

“Dalam konteks ini, kami menjangka kadar pertukaran AS MYR akan mengakhiri tahun ini pada sekitar RM4.20 (unjuran sebelum ini: RM4.40),” katanya.

- Bernama