Logo Malaysiakini

Azmin soal MB Johor: Semua exco dari BN - Mana semangat perpaduan?

PRK MAHKOTA l Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Azmin Ali mahu Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menjawab sama ada Umno akan menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri itu jika ia memenangi kerusi Mahkota.

Bercakap kepada pemberita selepas ceramah Perikatan Nasional (PN) di Kluang, malam tadi, katanya, rakyat mungkin melihat Umno sebagai tidak ikhlas dalam membentuk kerajaan perpaduan selaras seperti di peringkat persekutuan.

Azmin Ali

“Pakatan Harapan, PKR, DAP, dan Amanah menyokong Umno sejak dua tahun lalu dan mereka tidak mendapat apa-apa. Di mana semangat perpaduan di Johor?

"Sebab itu saya cabar Onn, menteri besar, untuk menjawab apakah sekranya mereka (Umno) dapat mengekalkan Mahkota, mereka akan membentuk kerajaan perpaduan selaras dengan kerajaan persekutuan?” soalnya.

Semua 11 ahli exco Johor adalah daripada BN, yang dilantik selepas pilihan raya negeri Mac 2022 dan sebelum pilihan raya umum ke-15 yang menyaksikan PH bekerjasama dengan BN.

Mengenai wakil parti Muda yang menyertai ceramah PN, Azmin berkata dia menghargai sokongan berkenaan kerana 52 peratus pengundi di Mahkota adalah golongan muda.

“Dia (wakil itu) maklum kepada saya dia telah dapat persetujuan supaya Muda juga dapat membantu kerja-kerja pilihan raaya, jadi saya ucap terima kasih kepada Muda,” katanya.

Azmin juga menyebut bahawa dia akan menghadiri majlis perkahwinan pemangku presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz di Johor Bahru pada hari Sabtu.

“Jadi, saya akan beri dia tempoh beberapa hari untuk berbulan madu dan kemudian harap dia akan terus membantu kita di Mahkota,” katanya.

Amira Aisya Abd Aziz

Minggu lalu, Muda mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil itu.

PRK Mahkota ditetapkan pada 28 Sept ini dan pengundi akan menentukan sama ada Haizan Jaafar dari PN atau Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah menjadi wakil mereka.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.