Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

ULASAN | Iktibar ekonomi dari kebangkitan rakyat di Bangladesh

ULASAN | Sejarah baru tercipta buat rakyat Bangladesh pada tanggal 5 Ogos yang lalu. Perdana Menteri Sheik Hasina, setelah berkuasa hampir 20 tahun (paling lama dalam sejarah Bangladesh), akhirnya tersingkir dan melarikan diri ke luar negara dengan menaiki Air Force C-130J milik tentera Bangladesh.

Para demonstran yang mengisi protes besaran-besaran pada minggu sebelumnya melihat perkembangan ini sebagai suatu kemenangan.

Setelah 300 lebih nyawa terkorban, termasuk tekanan hak kebebasan sivil dan dasar antidemokratik yang berleluasa di bawah kerajaan Liga Awami, perubahan rejim kali ini dianggap sebagai suatu periode baru yang lebih optimistik.

Oleh sebab demikianlah, di tengah-tengah semangat optimisme yang bergolak ini, ramai yang terlepas pandang isu ekonomi yang melatari kebangkitan rakyat Bangladesh ini sejak dari awal.

Kemarahan massa kali ini bukan hanya soal politik, bahkan soal ekonomi. Dan hal ekonomi inilah yang bakal menjadi cabaran tergetir buat pentadbiran baru Bangladesh di bawah Muhammad Yunus nanti.

Bermula dari isu kuota pekerjaan

Kita harus ingat bahwa demonstrasi besar-besaran yang dipimpin oleh mahasiswa Bangladesh pada awalnya adalah sekitar isu sistem kuota pekerjaan (isu ekonomi). Kerajaan pimpinan Hasina meletakkan 30 peratus kuota kerja-kerja kerajaan dikhususkan buat keluarga veteran yang terlibat dalam Perang Pembebasan Bangladesh (1971).

Hal ini disanggah pihak pembangkang sebagai tindakan diskriminatif terhadap rakyat kebanyakan, dan dilihat sebagai usaha memberi “gula-gula” kepada penyokong Parti Liga Awami.

Sheikh Hasina

Bahkan, lebih daripada itu, sistem kuota yang berat sebelah ini “disuguh” kepada rakyat tatkala ramai dalam kalangan mereka terpaksa hidup menderita atas desakan ekonomi. Persoalannya, mengapa rakyat kebanyakan begitu marah kali?

Sekiranya kita cuba membaca prestasi ekonomi Bangladesh secara sekilas pandang, berdasarkan indikator-indikator umum seperti pertumbuhan GDP, nilai eksport, dsb; sentimen “susah” yang dihadapi oleh rakyat kebanyakan di Bangladesh ini mungkin kelihatan janggal.

Sejak dua dekad yang lalu, kadar kemiskinan berjaya dikurangkan hampir separuh (daripada 41.5% pada 2006, menjadi 18.7% pada 2022). Pertumbuhan GDP juga pesat, bahkan GDP per kapita juga lebih tinggi daripada negara India sejak 2019.

Bahkan Bangladesh adalah antara pengeksport tekstil terbesar dunia sehinggakan kerajaan Bangladesh meramalkan akan menguasai hampir 10 peratus pasaran dunia dalam industri ini.

Menurut statistik dari pihak kerajaan Awami, pertumbuhan ekonomi Bangladesh sejak satu dekad yang lepas adalah sekitar 6.6%, dan Bank Dunia sendiri meramalkan pertumbuhan sebanyak 5.6 % buat Bangladesh tahun ini.

Persoalannya, di sebalik kisah “sukses” ekonomi Bangladesh ini, mengapa masih ramai rakyat yang merasa susah sehingga turun ke jalanan?

Pengangguran memuncak

Hakikatnya, pertumbuhan dan kemajuan ekonomi di peringkat negara ini tidak menurun atau dirasai rakyat kebanyakan. Ia tersangkut di bahagian teratas lapisan masyarakat dan hanya dinikmati golongan elit tertentu sahaja.

Kadar pengangguran yang memuncak sewaktu era Covid-19 (sekitar 5.8%) tidak reda sepenuhnya. Hampir 32 juta rakyat Bangladesh, terutamanya orang muda, masih tidak mempunyai pekerjaan.

Sektor tekstil yang menjadi tunjang ekonomi Bangladesh juga tidak mampu menampung generasi muda lepasan universiti masa sekarang. Hampir 80 peratus pekerja tekstil adalah wanita, dan sebahagian besar dibayar hanya 8,000 taka, atau kira-kira RM320 sebulan.

Justeru, graduan universiti lebih cenderung untuk memohon kerja sebagai kakitangan kerajaan yang lebih stabil. Namun, akibat daripada sistem kuota dan birokrasi yang memihak kepada penyokong atau kroni Parti Liga Awami, ramai daripada mereka yang tersisih.

Oleh sebab itu, tinjaun BDS pada pertengahan 2023 menunjukkan hampir 37.7 juta rakyat Bangladesh berdepan dengan masalah keterjaminan makanan. Kajian South Asia Network on Economic Modelling juga merumuskan hampir 28% isi rumah terpaksa berhutang untuk menyara hidup. Bahkan, purata jumlah hutang isi rumah hampir meningkat dua kali ganda antara 2016 ke 2022.

Dalam masa yang sama, kajian Wealth-X juga menyatakan Bangladesh antara negara tertinggi yang melahirkan golongan jutawan antara tahun 2010-2019, walhal golongan kebanyakan kekal miskin. Golongan “1 peratus” ini menguasai hampir 41% kekayaan negara Bangladesh.

Keadaan pandemik pada tahun 2020 juga tidak membantu, bahkan menambah derita rakyat kebanyakan. Sebagai negara yang didominasi ekonomi eksport tekstil, tempoh pandemik mengurangkan kadar permintaan secara drastik. Harga barangan turut meningkat, hasil daripada “supply shock” (pasca Covid-19) dan perang antara Ukraine dan Russia.

Di tengah-tengah keadaan genting ini, kerajaan pimpinan Hasina pula bertindak memotong separuh nilai subsidi minyak, sekaligus meningkatkan kadar inflasi negara. Pihak kerajaan sehinggakan terpaksa meminjam AS$4.5 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menjana ekonomi negara.

Pengajaran buat Malaysia

Ada dua pengajaran besar yang harus diteladani, termasuk buat warga Malaysia, daripada dapatan-dapatan ini. Pertamanya, kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat tidak memadai, terutamanya apabila rakyat masih berdepan dengan cabaran ekonomi saban hari.

Pihak kerajaan harus lebih peka dan tidak begitu obses dengan angka-angka pertumbuhan bersifat agregat, dan lebih tertumpu kepada masalah-masalah mikro yang mungkin tidak jelas tersingkap melalui statistik-statistik umum.

Sebab itu, kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, untuk memberi tumpuan kos isu sarah hidup dalam belanjawan 2025 baru-baru ini wajar disambut baik. Pun demikian, janji seperti ini harus segera dilaksanakan tanpa dolak-dalik lagi.

Keduanya, soal pengangguran dan kualiti pekerjaan penting dan tidak boleh dipandang enteng. Selain daripada gaji yang mencukupi, kualiti suasana kerja juga harus kondusif dan membina. Malaysia masih lagi berdepan dengan masalah “brain drain” yang melihat ramai tenaga-tenaga kerja Malaysia lebih selesai berkhidmat di negara lain.

Sepertimana yang kita lihat dalam situasi Bangladesh, masalah ekonomi yang mendasar berkait rapat dengan masalah politik di peringkat nasional.

Bahkan, isu polarisasi masyarakat, islamofobia dan ketegangan antara kaum, tidak terpisah daripada sentimen resah rakyat kebanyakan berakar daripada cabaran ekonomi seharian mereka. Ini adalah pengajaran penting buat Malaysia!


IMRAN RASID adalah penyelidik di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.