Logo Malaysiakini

PRK Mahkota: Wanita Umno akur calon pilihan parti

Wanita UMNO menyokong penuh pemilihan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota. 

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad juga memberi jaminan bahawa pihaknya akan membantu kempen bagi PRK itu termasuk menerusi penglibatan jentera dari negeri lain bagi memastikan kemenangan parti pada 28 Sept ini. 

"Kita akur dengan pilihan itu. Kita lihat calon yang dipertaruh mempunyai kredibiliti, masih muda selain mempunyai kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Mandarin dan ini adalah nilai tambah kepada calon yang ditampilkan.

"KIta seperti biasa akan terus bekerja dan fokus dalam kempen," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ziarah Kasih di Pusat Daerah Mengundi di Taman Ilham di Kluang hari ini.

Kerusi DUN Mahkota sebelum ini disandang oleh Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dan sayap Wanita parti itu turut mengemukakan tiga nama untuk pertimbangan pucuk pimpinan bagi pemilihan calon PRK tersebut. 

Noraini, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berharap isu 3R (kaum, agama dan raja) tidak disentuh sepanjang tempoh berkempen kerana ia hanya membawa kepada kemudaratan. 

“Untuk berkempen, kita harus menggunakan kekuatan masing-masing untuk mendapatkan pengundi. Saya harap ia tidak digunakan di DUN Mahkota kerana di Johor, kita mempunyai cara kita namun begitu, kita mengalu-alukan kehadiran orang (luar) datang berkempen,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Parit Sulong itu menafikan dakwaan pembangkang kononnya berlaku keretakan dalam Kem Perpaduan melibatkan BN dan Pakatan Harapan. 

PRK DUN  Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK itu diadakan susulan kematian Sharifah Azizah, 63, yang juga bekas Wanita UMNO Johor di Hospital Enche'Besar Hajjah Khalsom di Kluang pada 2 Ogos lepas. 

- Bernama