Logo Malaysiakini

Ganti menteri dalam negeri sebelum jadi lebih buruk - PAS

PAS menggesa agar Saifuddin Nasution Ismail diganti dari jawatan menteri dalam negeri susulan kenyataannya terhadap PAS dan presiden parti itu Abdul Hadi Awang yang disifatkan sebagai

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendakwa kenyataan Saifuddin itu penuh dengan kelemahan.

"Sehingga menimbulkan tanda tanya berhubung tahap kestabilan emosi beliau, sekali gus kelayakannya untuk kekal sebagai seorang menteri kabinet," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Takiyuddin juga menyindir Naib Pengerusi DAP Teresa Kok, tanpa menyebut namanya, dengan menyentuh mengenai "aplikasi bahasa".

“Pertama, pengguna-pengguna bahasa kebangsaan akan berdepan kesukaran untuk memahami tajuk kenyataan tersebut kerana kelemahan penguasaan bahasa, selain menggambarkan kecelaruan fikiran penulisnya.

"Sebagai seorang menteri yang dibantu oleh begitu ramai pegawai, tentulah rakyat boleh mengharapkan standard yang lebih tinggi berhubung perkara ini, baik dari sudut penguasaan bahasanya, lebih-lebih lagi dari segi kejelasan maksud yang hendak disampaikan.

"Dalam konteks ini, PAS berharap menteri terbabit tidak akan menyalahkan orang lain atau apa-apa aplikasi bahasa dan penulisan atas kelemahan yang menjolok mata itu," katanya.

Isnin lalu, Kok mendakwa bahawa salah terjemah oleh alat AI ChatGPT membawa kepada kekeliruan mengenai kenyataannya baru-baru ini mengenai pensijilan halal, mengakibatkan salah faham.

Kok berkata kenyataan asalnya yang dikeluarkan dalam bahasa Mandarin telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh rakan sekerja menggunakan ChatGPT kerana kekangan masa.

Sementara itu, Takiyuddin juga mempersoalkan tindakan Saifuddin menandatangani kenyataan medianya itu sebagai menteri dan dalam kapasiti sebagai pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Persoalannya, sejak bilakah dua kedudukan ini boleh digandingkan dalam kenyataan rasmi kerajaan dengan menggunakan kepala surat rasmi kementerian pula?

"Apakah di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini, garis pemisah antara tugas-tugas rasmi kerajaan dengan peranan politik seseorang sudah diketepikan dan tidak dihormati lagi?

"Apakah ini juga memberi gambaran bahawa campur aduk antara fungsi kerajaan dengan fungsi politik yang jelas merupakan suatu bentuk salah guna kuasa akan berterusan dan menjadi wajah kekal kerajaan?" katanya.

Takiyuddin turut menuduh Saifuddin mengenepikan protokol, adab dan etika, yang menjadi prasyarat dalam pentadbiran kerajaan, dengan merujuk kepada presiden PAS sebagai “Hadi Awang atau Abdul Hadi Awang” dan bukannya “Tan Sri Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang”.

"Ia adalah perbuatan biadab dan tidak hormat bukan sahaja terhadap individu terbabit, tetapi juga kepada penganugerah gelaran-gelaran itu sendiri.

"Hakikat bahawa ia dilakukan dalam komunikasi rasmi seorang menteri Kabinet sebuah kerajaan yang kerap bercakap tentang budaya serta akhlak murni dan budaya unggul lebih memalukan lagi.

"Persoalan penting dalam hal ini ialah sama ada sikap biadab dan memalukan ini akan menjadi ciri kekal pemimpin-pemimpin kerajaan kini.

"Tanpa tindakan tegas terhadap menteri terbabit, PAS percaya keterlanjuran jelek seperti ini akan menjadi kelaziman yang dibiasakan oleh kerajaan hari ini," tambahnya.

Tuduhan tanpa siasatan

Pada keseluruhannya, pemimpin PAS itu berkata kenyataan Saifuddin terhadap parti itu dan presidennya akan kekal sebagai tuduhan semata-mata tanpa bukti.

“Malangnya tuduhan dan dakwaan itu dibuat oleh seorang menteri dalam kenyataan rasmi kementerian yang diketuainya.

"Rakyat tentulah akan bertanya, dengan kedudukan sebagai Menteri Dalam Negeri, bukankah menjadi tanggungjawab beliau untuk membawa pendakwaan terhadap PAS dan Presidennya di mahkamah sekiranya dakwaan itu benar dan kerajaan mempunyai bukti berkaitnya.

"Membuat tuduhan tanpa diikuti oleh siasatan dan pendakwaan bukanlah tindakan yang diharapkan daripada seorang menteri, terutama sekali Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab secara langsung ke atas keselamatan dan ketenteraman negara.

"Sebaliknya ia merupakan pengabaian tugas dan tanggungjawab yang jelas, sementara tuduhan tanpa bukti yang dibuat oleh menteri berkenaan boleh dianggap sebagai fitnah yang mendedahkan kementerian kepada tindakan guaman oleh pihak-pihak yang terkesan dengannya,” katanya lagi.

Berdasarkan isu yang diketengahkan, Takiyuddin berkata PAS percaya Saifuddin tidak lagi layak untuk kekal di jawatannya.

"Perkembangan yang berlaku dalam parti yang diwakilinya, terutama kedudukan sebagai Setiausaha Agung yang pernah disandangnya sebelum ini mengesahkan kesangsian berkenaan kelayakan beliau.

"Justeru adalah munasabah dan bertanggungjawab sekiranya Perdana Menteri turut mengambil tindakan yang serupa dengan menggantikan beliau dengan pemimpin yang lebih berkelayakan sebagai menteri sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan tidak dapat dikawal lagi,” katanya.

Pada Ahad, diumumkan bahawa Saifuddin telah meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung PKR dengan bekas Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mengambil alih.

Saifuddin sebelum ini mengeluarkan kenyataan media yang panjang lebar mendakwa PAS, di bawah pimpinan Hadi, telah tersasar jauh daripada punca asalnya.

Dia menyifatkan retorik PAS semasa muktamar baru-baru ini sebagai "puncak politik kebencian" dengan fitnah dan penghinaan digunakan terhadap lawan politik.

Dia juga menyifatkan PAS sebagai munafik yang berkhayal untuk merebut kuasa tetapi ketandusan idea untuk menangani masalah masyarakat dan sebaliknya menyemai kebencian di kalangan rakyat.