ULASAN | Menjelang 20 September: Hari Reformasi
uSetiap kali menjelang 20 September, pemerintah menggigil kepala lutut. Dahulu kami anak-anak muda suka terbahak sendiri apabila dapat menonton muka pemimpin pucat leser dengan suara terketar-ketir apabila beri komen tentang hari tersebut. Ada dosa yang disorok-sorok, sebab itu mereka cuak-muabak.
Menjelang tarikh berkenaan, bersusun acara diatur—forum, ceramah, dan pelbagai lagi. Pada hujungnya, perhimpunan pasti dianjurkan tanpa kira entah apa matlamat besarnya. Yang penting, demontrasi ialah tempat unjuk rasa; rasa kecewa yang ditampilkan ke muka dunia.
Kalaulah hari-hari itu kami menguasai stesen TV atau mana-mana radio, tentu segala sejarah Gerakan Reformasi akan diputarkan sepanjang September; dibikin dokumentari mahupun filem tentangnya. Apakah daya, alatan bangsa ini bukan punya kita.
Apapun tahun lalu, demi mengenang ulang tahun 25 tahun Reformasi, kelompok Perahu Hamzah sempat menganjurkan malam mengenangnya di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor: tempat yang sedari dahulu pun selalu dianjurkan forum politik. Tidak jadi normalisasi program Reformasi dikaitkan dengan majlis khusus atas apa-apa agama seperti yassinan, kerana sifat perjuangan rakyat ialah merangkul seluruh kaum di Malaysia. Majlis agama ada ruangnya.
Dan sejak 1998, tiap-tiap tahun Dataran Merdeka cuba dijadikan titik temu terakhir dengan manusia berarak daripada beberapa penjuru: Padang Merbuk, laluan Brickfields, Jalan TAR, kawasan Masjid India, dari arah Masjid Jamek atau bermunculan di celah-celah Pasar Seni.
Pernah pada 2011 ada kumpulan baju merah yang menggelar diri mereka “Patriot” turut mahu adakan perhimpunan di kawasan Bukit Bintang, tapi tidak menjadi. Kalau di KL, Bukit Bintang selalu dikaitkan sebagai kawasan hiburan; bukan wilayah ‘pertempuran’ rakyat.
Di mana pun di dunia, demokrasi perlu direbut dengan jiwa raga; bukan disandiwarakan. Dan ramai juga yang masih ingat peristiwa Anwar Ibrahim ditangkap pada malam 20 September 1998; pada sebelah petangnya, Anwar sempat ke Masjid Negara dan Dataran Merdeka. Atas peristiwa itulah, Dataran Merdeka jadi signifikan sebagai simbol kebangkitan rakyat yang payah dipadam sesiapa.
Bagi saya, perkataan “gerakan” dalam perjuangan rakyat muncul pada musim sejuk 1968. Pada waktu itu terjadinya bibit protes di Paris yang diketuai oleh seorang siswa, Daniel Cohn-Bendit. Isunya kecil, iaitu bantahan pemisahan lelaki-perempuan dalam kediaman universiti.
Namun bantahan tidak terhenti di situ. Kemudian turut dipertikai subjek pengajian di universiti yang dianggap mengajarkan ilmu-ilmu mati, yang sudah tidak berguna. Kemudiannya lagi, skop perjuangan mulai lebih besar melibatkan bukan sahaja mahasiswa, tapi anak-anak muda dan kaum pekerja. Mereka juga mula membantah isu-isu global termasuk perang Vietnam yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat.
Perlawanan itulah yang dikenali sebagai May Movement. Istilah “movement” atau “gerakan” pun sampai sekarang selalu dikaitkan dengan perjuangan rakyat. Di negara ini, 26 tahun lalu, kebangkitan rakyat itu juga disebut sebagai Gerakan Reformasi.
Perjuangan serupa tidak hanya tercetus di Kuala Lumpur. Dalam rentang waktu yang sama, kebangkitan rakyat juga muncul seperti di Bangkok, Manila dan Jakarta. Bahkan, pemimpin segagah presiden Soeharto yang berkuasa lebih tiga dekad juga dapat dilingsirkan.
Reformasi atau revolusi sebenarnya mempunyai tujuan yang sama, yakni merebut kembali demokrasi. Bezanya hanya pada cara: revolusi merentap lebih kuat daripada jalannya reformasi. Kesan kedua itu juga beza-beza.
Apa pun, Reformasi di negara ini telah mengambil tempoh yang agak panjang dengan ukuran terangkatnya Anwar sebagai perdana menteri. Ia 23 tahun lamanya!
Saya selalu membandingkan, misalkan perjuangan menuntut kemerdekaan di beberapa wilayah juga tidak terseret sepanjang itu. Kalau Sumpah Pemuda yang ditulis pada 1928, kemudian hanya mengambil tempoh 17 tahun sebelum Indonesia merdeka pada 1945. Begitu juga kalau diambil tarikh Umno ditubuhkan pada 1946, menyusul 9 tahun selepas itu Persekutuan Tanah Melayu pun mencapai kemerdekaannya.
Semakin lama tempoh pergelutan, semakin kurang yang mampu bertahan. Tapi jangan pula dilupa, di celah-belah cerita pengkhianatan atau juga kehampaan, ada ramai yang setia, ada yang terkorban, ada yang dikorban, dan ada yang menjadi pahlawan kesiangan. Dalam bahasa politik yang paling mulut, semua golongan itu perlu tetap dipeluk-rangkul sebagai satu kekuatan.
Begitulah adatnya. Dari perjuangan kemerdekaan yang paling getir, tidak kurang ada tokoh yang paling kehadapan turut ‘dibaling bawah bas’ apabila kemerdekaan dapat dicapai.
Tan Malaka misalnya, mungkin contoh agak ekstrem. Dialah yang mengilhamkan untuk wujud sebuah negara baharu yang bernama “Indonesia”—yang merdeka—di dalam buku berbahasa Belanda yang ditulisnya bertajuk, “Naar de ‘Republiek Indonesia’.” Ertinya, “Menuju Republik Indonesia.” Terbit 1925.
Tapi selepas Indonesia terbentuk, Tan Malaka pula diburu oleh anak bangsa sendiri, sehingga tidak sampai 2 tahun Indonesia merdeka, pada 1949, Tan Malaka dibunuh di Jawa Timur.
Kita juga dapat membaca kisah Buya Hamka yang juga seorang ulama dan nasionalis yang dipenjara 4 tahun atas tuduhan bersekongkol mahu menggadai Indonesia kepada Malaysia. Selain itu, ada juga nama seperti Muhammad Natsir; atau pengarang, Pramoedaya Ananta Toer; penyair WS Redra dan sekian senarai panjang orang yang pernah ditahan atau ditangkap selepas negaranya merdeka, walhal merekalah pejuang kemerdekaan itu.
Dalam skala lebih kecil, kita juga tahu bagaimana Onn Jaafar, yakni pendiri Umno yang tidak diundang di hari pengisytiharan kemerdekaan sama ada di Bandar Hilir, Melaka mahupun di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Saya cuba membayangkan rasa bening hati Onn yang mengikut detik-detik berkenaan melalui kaca televisyen atau siaran radio Malaya dari ruang tamu rumahnya di Batu Pahat. Perlu hampakah dia?
Kisah para pejuang di atas itulah tadi yang boleh menarik kita kembali kepada punca tali Gerakan Reformasi—tapi yang juga perlu terus dihulurkan dari generasi ke satu generasi. Semuanya seakan terlukis jelas di dalam serangkap lirik lagu oleh Ismail Marzuki, “Gugur Bunga” (1945):
Telah gugur pahlawanku
Tunai sudah janji bakti
Gugur satu tumbuh seribu
Tanah air jaya sakti
Segala dukalara dan pahit maung pun lumat jadi debu tertiup angin. Ayuh, kita mengenang dan mengajarkan terus kepada generasi baharu akan erti kebangkitan rakyat yang bukan kepalang; pada hari yang mungkin suatu detik nanti disebut dan dikenang sebagai “Hari Reformasi.”
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai