Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

PRK Mahkota: Calon BN pikat pengundi Cina dengan fasih bahasa Mandarin

PRK MAHKOTA | Dengan berlatar belakang cahaya tanglung yang terang, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah memikat hati pengundi Cina dengan kemahiran berbahasa Mandarinnya.

Sepanjang acara Pesta Pertengahan Musim Luruh yang diadakan di Persatuan Membaiki Akhlak Che Luan Khor, hadirin berbangsa Cina daripada pelbagai peringkat usia berkerumun untuk bercakap dengan Syed Hussien menggunakan bahasa ibunda mereka.

“Anda sangat kacak,” kata seorang wanita berusia 50-an memuji Syed Hussien dalam bahasa Mandarin.

“Terima kasih. Sila berikan saya peluang,” jawab calon berusia 40 tahun itu dengan sopan, juga dalam bahasa Mandarin.

Pilihan raya kecil ini diadakan di tengah-tengah kebimbangan bahawa pergeseran berhubung isu sijil halal antara Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok boleh menyebabkan pengundi Cina menjauhi calon Umno.

Namun, BN menonjolkan calonnya yang berlatar belakang sekolah Cina, dengan pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi pada hari penamaan calon berkata Syed Hussien mempunyai pemahaman mendalam mengenai budaya, bahasa, dan pemikiran orang Cina kerana dia bersekolah di SJK(C) Chong Eng.

Minggu lalu, parti sekutu Umno, MCA berkata Syed Hussien mempunyai nama Cina - “Sai Fu Xing” - yang secara literal bermaksud “bintang bertuah”.

Syed Hussien yang memanfaatkan pendidikannya di sekolah vernakular pada acara pesta tanglung malam tadi, memberitahu mereka yang ditemuinya bahawa mereka pernah bersekolah di sekolah yang sama.

Ahli DAP, Wong Shu Qi membawanya berkeliling, memperkenalkannya dengan ahli kawasan tersebut dan Syed Hussien menyapa orang ramai, termasuk mereka yang meniaga gerai.

Orang ramai kelihatan gembira melihatnya, dan ramai beratur untuk berinteraksi dan bergambar dengan calon BN tersebut.

Beberapa orang dilihat bergambar sambil menunjukkan satu jari, merujuk kepada kedudukannya di kertas undi sebagai calon pertama.

Syed Hussien juga memberikan ucapan ringkas dalam bahasa Mandarin, di mana dia terhenti selepas terlupa cara memberi salam.

“Saya lupa (cara sebutnya), saya tidak cukup tidur,” katanya dalam bahasa Mandarin, sambil disambut gelak tawa daripada orang ramai.

Dia menghabiskan hampir dua jam pada acara tersebut, yang dihadiri lebih 300 orang, majoritinya berbangsa Cina.

Interaksi Syed Hussien dengan penduduk Cina di kawasan itu berbeza dengan lawannya, Mohamad Haizan Jaafar dari PN.

Pada ceramah pertama PN di Mahkota tiga hari lalu, hanya tiga orang Cina yang hadir walaupun ceramah itu diadakan di daerah mengundi yang mempunyai populasi Cina terbesar dalam kawasan itu.

Tiada 'kemenangan pasti'

Namun, Wong memberi peringatan agar tidak menganggap kerusi itu sudah pasti dimenangi oleh kerajaan perpaduan.

“Ini bukan pilihan raya kecil 'pasti menang' yang sudah ada pemenang dan kalah kerana sebenarnya ia masih 50-50,” kata Ahli Parlimen Kluang itu kepada pemberita di acara tersebut.

Dia turut mengulas bahawa kerjasama antara DAP dan MCA sudah cukup untuk menyampaikan mesej yang jelas.

Terdahulu, Presiden MCA, Wee Ka Siong, ketika ditanya tentang kerjasama partinya dengan DAP, berkata kempen pilihan raya kecil itu diketuai oleh BN dan parti komponen mereka.

"Bagi parti politik lain, jika mereka mahu menyokong kami kerana kerajaan perpaduan, kami tiada alasan untuk menolak," kata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu ketika ditemui di sebuah kopitiam di Kluang.

Semua yang bekerja bersama-sama untuk memastikan kemenangan Umno mempunyai matlamat yang sama, tambahnya.

PN mainkan isu perkauman

Wong mendakwa PN memainkan isu perkauman apabila tiada isu sebenar yang ingin dibangkitkan.

"Saya sebenarnya lebih suka mendengar cadangan PN, (seperti) bagaimana untuk membangunkan ekonomi, tetapi mereka tidak pernah mempunyai idea seperti ini.

“Mereka hanya tahu bagaimana untuk memprovokasi,” katanya.

Syed Hussien akan berdepan Haizan, 61, dalam pertandingan satu lawan satu pada hari mengundi 28 September.

Pilihan raya kecil Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya dari BN Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos.