Logo Malaysiakini

Biar rakyat nilai sendiri - Fadillah dedah MoU

Timbalan Perdana Menteri II, Fadillah Yusof mendedahkan kandungan memorandum persefahaman (MoU) kerajaan mengenai peruntukan untuk pembangkang selepas PN membuat keputusan sebulat suara untuk menolak draf tersebut.

Ketua whip parlimen kerajaan itu menyifatkan dakwaan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin draf tersebut berpotensi menjejaskan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai "tidak berasas."

"Dengan pendedahan MoU ini, rakyat sendiri boleh menilai bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang mengenai draf terbabit adalah tidak berasas sama sekali," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Draf awal MoU menekankan peranan ahli parlimen pembangkang dalam memastikan semak dan imbang, menawarkan alternatif dasar yang berwibawa, serta memupuk perpaduan nasional.

Sebagai balasan untuk mendapat hak istimewa yang sama di Dewan Rakyat, sumber parlimen dan dana kawasan, ahli parlimen mesti mengisytiharkan harta mereka dalam tempoh 14 hari selepas menandatangani MoU dan mematuhi "Tujuh Prinsip Kehidupan Awam".

Mereka juga perlu mengelak daripada menghasut kebencian, diskriminasi atau keganasan serta bertindak dengan toleransi.

Selain itu, ahli parlimen mesti mengakui Perlembagaan Persekutuan dan demokrasi berparlimen berasaskan maruah dan kesaksamaan untuk semua rakyat Malaysia dan hak asasi manusia serta kebebasan perlu dipertahankan untuk semua, tanpa mengira kaum, agama, bahasa, atau budaya.

Ahli parlimen juga dijangka menegaskan Perlembagaan Persekutuan dan demokrasi di Malaysia menjamin hak kebebasan serta perlindungan yang sama daripada diskriminasi atau hasutan.

Draf MoU ini turut menekankan keperluan untuk ahli parlimen mengecam ucapan kebencian dan hasutan terhadap institusi diraja dan raja-raja Melayu.

Draf kedua MoU berkongsi peruntukan serupa tetapi akan ditandatangani antara kerajaan perpaduan dan blok PN, yang mengikat semua ahli parlimennya.

Menurut Fadillah, kedua-dua draf ini akan berkuat kuasa mulai tarikh tandatangan sehingga pembubaran Parlimen ke-15 atau 19 Disember 2027, yang mana lebih awal.

Katanya MoU ini tidak mengandungi klausa kerahsiaan dan tertakluk kepada undang-undang.

“Memorandum Persefahaman ini secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut MoU ini.

"Ini melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang,” katanya lagi.