Logo Malaysiakini

Calon BN yakin kenyataan Akmal tak beri kesan pada PRK Mahkota

PRK MAHKOTA | Calon BN Syed Hussien Syed Abdullah berpandangan kenyataan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh terhadap pemimpin DAP Teresa Kok sebelum ini tidak akan menjejaskan peluangnya dalam PRK ini.

Syed Hussien berkata sesiapa sahaja boleh menyuarakan pandangan peribadi namun apa yang penting adalah pendirian kerajaan.

“Tak beri kesan (dalam PRK) sebab semua orang ada pandangan sendiri.

“Hak mereka untuk suarakan pandangan peribadi tetapi yang paling penting adalah pendirian kerajaan.

“Dan (pendirian) kerajaan menetapkan kepentingan rakyat lebih daripada segalanya,” katanya ketika ditemui Malaysiakini ketika berkempen hari ini.

Akmal turut hadir memberi sokongan kepada Syed Hussien ketika penamaan calon dua hari lalu.

Terdahulu, pemimpin PH Johor menyuarakan kebimbangan serangan Akmal terhadap Kok berhubung isu pensijilan halal berisiko mengecewakan orang bukan Melayu yang menyokong PH dan tidak akan keluar mengundi nanti.

Pagi ini, Syed Hussien bersama-sama Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkempen di Old Pasar Kopitiam dan kedai-kedai sekitar.

Syed Hussien juga sempat menunjukkan kemahirannya dalam bahasa Mandarin, dan berkata dia sebelum ini belajar di SJK(C) Chong Eng di Kluang.

Beberapa pengundi yang ditemui memberi jaminan kepada Syed Hussien dan Wong yang kerajaan perpaduan akan “pasti menang” dan “dijamin menang”.

Malah seorang wanita memberitahu Wong: “Jika saya sokong anda, saya akan sokong dia (Syed Hussien) juga.”

Wong pula mengingatkan pengundi untuk memangkah dacing di hari mengundi nanti kerana kerajaan perpaduan meletakkan calon daripada BN.

Sementara itu, Syed Hussien berkata dia yakin Umno dan DAP sudah menjadi seperti satu keluarga besar, dan kerjasama kedua-dua parti adalah apa yang diperlukan untuk perpaduan negara.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersatu padu dalam apa jua tindakan dan ideologi demi kebaikan negara,” katanya lagi.

Syed Hussien yang juga ketua Pemuda Umno Kluang akan berdepan calon PN Mohd Haizan Jaafar.

PRK DUN Mahkota diadakan berikutan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.