Logo Malaysiakini

Fuziah: PKR bincang tangguh pemilihan parti, namun belum putuskan

Nota editor: Laporan ini telah dipinda bagi memaparkan penafian oleh Fuziah Salleh yang tidak disertakan dalam laporan asal. Kesilapan amat dikesali.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh memaklumkan isu penangguhan pemilihan parti memang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) semalam namun tiada keputusan muktamad dicapai.

Fuziah menafikan MPP telah setuju untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas PRU16.

Dia berkata mesyuarat berpendapat lebih banyak sesi libat urus perlu dibuat di semua peringkat kepimpinan parti sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya ingin menegaskan tiada keputusan sedemikian dibuat sewaktu mesyuarat MPP pada Ahad, 15hb September 2024 (semalam). 

“Walaupun ada perbincangan serta pandangan dilontarkan, namun ia hanya perbincangan dan tiada keputusan tuntas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fuziah Salleh

Terdahulu, tiga sumber yang hadir ke mesyuarat semalam memaklumkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

"Betul. MPP bincang tangguh pemilihan parti selepas PRU16. Cadangan itu dibawa oleh Timbalan Presiden Rafizi Ramli.

"Namun, belum ada keputusan muktamad," kata seorang sumber dengan syarat namanya tidak didedahkan.

Mereka bagaimanapun tidak menjelaskan jika perlembagaan parti perlu dipinda bagi membolehkan pemilihan ditangguhkan.

Pemilihan PKR kali terakhir diadakan pada Julai 2022 bagi penggal 2022-2025.

Sementara itu, sumber tidak menjelaskan jika cadangan penangguhan itu dipersetujui, ia membawa maksud PRU16 akan diadakan lebih awal daripada 2027, iaitu tahun tamatnya penggal pentadbiran kerajaan semasa.

"Ini anda perlu tanya bos (Presiden PKR Anwar Ibrahim). Apa yang penting parti perlu menjadi satu pasukan menghadapi PRU akan datang," kata satu lagi sumber.

Sumber juga berkata Ahli Parlimen Selayang William Leong dilantik untuk mengkaji cadangan itu dan akan mengadakan perbincangan dengan wakil setiap negeri sebelum membentangkannya kepada MPP pada November ini.

Untuk rekod, pada 2021, PKR pernah menangguhkan pemilihan parti selama tempoh tidak melebihi 18 bulan.

Menurut PKR pada masa itu, ada bahagian dalam perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan ditangguh selama tidak lebih 18 bulan.