Logo Malaysiakini

Trump terselamat daripada percubaan bunuh kali kedua

GLOBAL | Bekas presiden Amerika Syarikat (AS) terselamat daripada satu lagi percubaan membunuhnya.

Media antarabangsa melaporkan Biro Penyiasatan Persekutua (FBI) menggagalkan percubaan itu semasa Trump, yang juga calon presiden untuk Parti Republikan, bermain golf di West Palm Beach, Florida semalam.

Menurut laporan, ejen risikan AS melepaskan tembakan kepada suspek yang bersembunyi di semak berhampiran.

Suspek kemudian meninggalkan senapangnya dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Menurut BBC, Trump berada kira-kira 270 hingga 450 meter daripada semak itu.

Menurut laporan, selain senapang, ejen risikan turut menemukan satu skop, dua beg dan satu kamera GoPro yang ditinggalkan suspek di tempat kejadian.

Seorang saksi melihat suspek meluru masuk ke sebuah kenderaan berwarna hitam dan melarikan diri, di  tengah tembakan daripada ejen.

Saksi itu kemudian berjaya menangkap gambar nombor pendaftaran kenderaan itu dan sherif kemudian menghentikan kenderaan dan menahan suspek.

Dalam emel kepada penyokongnya, Trump memberi jaminan dia dalam keadaan “selamat dan baik”.

“Tiada apa yang akan menghalang saya. Saya tak akan menyerah,” katanya.

Hampir dua bulan lalu, seorang lelaki cuba menembak Trump dalam satu himpunan di Pennsylvania. 

Bagaimanapun, tembakan yang dilepaskan individu itu hanya terkena telinganya.