Logo Malaysiakini

Projek Sama cadang kuasa veto untuk Sabah, Sarawak di Dewan Negara

Kumpulan pendesak reformasi institusi, Projek Sama mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah 15 senator masing-masing di Sabah dan Sarawak.

Kumpulan ini berpendapat langkah itu akan memberi kuasa kepada Malaysia Timur untuk menyekat sebarang pindaan perlembagaan secara unilateral dari Semenanjung Malaysia.

Malaysia Timur kini hanya memegang 7.1 peratus daripada jumlah kerusi Dewan Negara, dengan hanya dua senator masing-masing dari Sabah dan Sarawak, serta seorang senator yang dilantik oleh persekutuan mewakili Labuan.

Menurut Projek Sama, perwakilan yang kecil ini mengehadkan kemampuan Malaysia Timur untuk menyekat pindaan perlembagaan.

Cadangan mereka memerlukan 35 senator dari Malaysia Timur - 17 masing-masing dari Sabah dan Sarawak serta satu dari Labuan - menjadikan jumlah kerusi Dewan Negara kepada 100, yang dirujuk oleh Projek Sama sebagai pelan "Dewan Negara 35/100".

Kerajaan kini sedang dalam proses mengembalikan status sama rata kepada Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Salah satu cadangan oleh penyokong Sabah dan Sarawak adalah untuk memberikan 35 peratus daripada kerusi Dewan Rakyat kepada Malaysia Timur, bagi memulihkan keseimbangan seperti yang dibayangkan dalam MA63.

Bagaimanapun, Projek Sama berpendapat cadangan mereka yang memfokuskan Dewan Negara akan lebih mudah dilaksanakan berbanding meningkatkan perwakilan Malaysia Timur di Dewan Rakyat.

Pelan "Dewan Negara 35/100" hanya memerlukan pindaan kepada Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, permintaan "Dewan Rakyat 35 peratus" akan memerlukan proses panjang untuk merundingkan pengagihan kerusi, pindaan perlembagaan, dan persempadanan kawasan pilihan raya.

Mereka berkata, ini bermakna cadangan Dewan Negara boleh dilaksanakan dengan cepat sebelum pilihan raya umum akan datang.

Kumpulan itu juga berkata pelan mereka mengelakkan "penggelembungan" Dewan Rakyat, yang sebaliknya boleh berkembang hingga sebanyak 360 kerusi jika perwakilan Malaysia Timur ditingkatkan tanpa mengurangkan kerusi Semenanjung Malaysia.

Mereka menegaskan cadangan itu sejajar dengan norma demokrasi global, di mana Dewan Negara sering berfungsi untuk melindungi hak wilayah kecil atau khas dalam sistem persekutuan.

"Projek Sama menggesa semua pihak yang menyokong kuasa veto perlembagaan Malaysia Timur untuk menyokong cadangan 'Dewan Negara 35/100' apabila Parlimen bersidang semula pada bulan Oktober,” jelasnya.