Logo Malaysiakini

Guan Eng beri isyarat terima formula Sim-Hui Ying dicadang Loke

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dilihat memberi isyarat menerima cadangan agar DAP Pulau Pinang dipimpin Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, manakala Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying terus berkhidmat sebagai setiausaha DAP negeri.

Ini selepas Guan Eng menganjurkan perhimpunan perpaduan "pemimpin masa depan DAP Pulau Pinang" yang dihadiri oleh Sim dan Hui Ying.

"Kita lebih kuat bersama dalam menyokong kepimpinan parti dan kerajaan perpaduan di Pulau Pinang serta Putrajaya untuk kehidupan yang lebih baik bagi rakyat," kata pentadbir laman Facebook Guan Eng dalam satu hantaran mengenai perhimpunan tersebut.

Foto daripada acara itu menunjukkan Sim duduk di sebelah Guan Eng manakala adik Guan Eng, Hui Ying, duduk di sebelah Sim.

Formula Sim-Hui Ying dicadangkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menjelang pemilihan DAP Pulau Pinang hujung minggu depan.

Ini selepas penyandang pengerusi negeri dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti negeri itu.

Cadangan Loke dilihat bertujuan mengekalkan kestabilan dan membolehkan Chow berkhidmat bagi menghabiskan penggalnya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang tanpa cabaran dalaman daripada DAP.

Sepanjang tahun lepas, beberapa ADUN DAP mengkritik kerajaan pimpinan Chow berhubung isu seperti ekonomi dan bekalan air.

Pada Mei tahun ini, beberapa ADUN DAP, yang diketuai oleh Guan Eng, mengkritik kenaikan tarif air di Pulau Pinang dan menggesa Chow mengikut contoh Perak dengan memberikan diskaun 20 sen ke atas tarif air selama setahun.

Bulan lalu, Guan Eng mempersoalkan mengapa Pulau Pinang, walaupun menjadi negeri dengan kadar eksport dan pelaburan tertinggi tahun lepas, mempunyai kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah daripada purata nasional.