Logo Malaysiakini

'PAS buta huruf bila dakwa kerajaan Madani restui penyakit krisis nilai'

PAS disifatkan sebagai ‘buta huruf’ apabila mendakwa kerajaan Madani hari ini merestui ‘penyakit’ krisis nilai.

Timbalan Presiden Amanah, Mujahid Yusof berkata ini kerana parti pembangkang itu cuba menafikan usaha dan dasar kerajaan Madani yang digerakkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan.

“Antara yang ditekankan oleh (gagasan) Madani adalah ihsan yang tertakluk pada tempat ketiga setelah Iman dan Islam.

“Islam begitu subur di Malaysia sehingga orang luar melihat Malaysia negara Islam model, di mana berbagai kaum hidup dalam rukun dan damai manakala pentadbiran Islam dari sudut halal dan pengurusan haji serta pengurusan masjid dan sekolah-sekolah Islam dan tahfiz dianggap terbaik di dunia.

“Nilai apa yang dia maksudkan kita tak tahu. Di mana yang dikatakan nilai pluralisme, liberalisme menggugat walhal Islam adalah agama rasmi negara dan seluruh Raja-raja Melayu menjadi payung kepada pentadbirann Islam,"katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas larangan 3R yang berkisar tentang isu agama, bangsa dan institusi diraja, Mujahid berkata peraturan itu jelas meliputi semua pihak.

“Dan yang memainkan isu ini (3R) adalah PAS dan Perikatan Nasional (PN) sebab orang lain memahami bahayanya isu ini.

“PAS tergoda dengan isu ini sebab PAS dapat mengelirukan orang ramai untuk mendapatkan sokongan politik.

“Saya tak hairan kalau PAS buta huruf, kerana kalau ada keinginan boleh belajar, tapi saya khuatir PAS buta hati, tak nampak kebaikan dan berlumba ke arah kebaikan, dengan memfitnah dan membentuk persepsi palsu untuk capai maksud politik sempit,” tegasnya.

Mujahid berkata demikian mengulas kenyataan perwakilan PAS Selangor, Sabirin Marsono ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Muktamar PAS ke-70 di Kerdau, Temerloh, semalam.

Sabirin mendakwa kerajaan Madani hari ini merestui ‘penyakit’ krisis nilai yang sedang disaksikan berlaku di negara ini.

Dia antara lain menyenaraikan masalah-masalah termasuk ancaman ideologi-ideologi songsang yang didakwa sedang menjadi barah kepada rakyat dan negara.

“Hari ini kita menyaksikan ada orang Islam yang menjadi ahli, penyokong dan pendukung parti yang memperjuangkan liberalisme, sekularisme dan kesamarataan yang jelas bertentangan dengan perlembagaan.

“Pada hari ini kita melihat ada orang Melayu Islam sedang menyiarkan perancangan (untuk) menamatkan sistem beraja negara ini dan mendukung usaha menjadikan negara ini sebagai sebuah republik.

“Hari ini kita menyaksikan pelaksanaan undang-undang haram 3R (bangsa, agama dan istana) dikuatkuasakan kepada Melayu-Islam kerana berbicara tentang Melayunya dan agamanya,” katanya.

Sabirin dalam perbahasan membawa tajuk ‘punca krisis nilai’ itu turut mendakwa pelbagai lagi perkara yang tidak bertatakelola, asing dan songsang dan tidak pernah terfikir disaksikan pada hari ini.

Sementara itu Ahli Dewan Negara, Mohd Hasbie Muda menegaskan dakwaan pimpinan PAS itu merupakan tuduhan rambang yang tiada asas.

“Peruntukan untuk hal ehwal agama Islam tertinggi di zaman Kerajaan Madani iaitu sebanyak RM1.9 billion pada tahun ini. Ini bukti bahawa Kerajaan Madani fokus memperkasa Islam sekali gus melawan sebarang fahaman atau usaha yang membawa kepada krisis nilai.

“Justeru dakwaan PAS hanya satu tuduhan rambang yang tiada asas,” katanya yang juga Ketua Pemuda Amanah.

‘Muktamar jadi medan semai kebencian’

Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim yang dihubungi Malaysiakini pula menyelar tindakan perwakilan PAS Selangor itu.

Muhammad Kamil yang juga setiausaha politik perdana menteri berkata persidangan yang sepatutnya menjadi medan untuk membahas idea parti pembangkang itu telah gagal dimanfaatkan sebaiknya oleh sebahagian besar pembahas.

“Ia kini medan untuk menyemai benih kebencian, fitnah dan adu domba.

“Beliau (perwakilan PAS Selangor) perlu jelas. Kenyataan samar-samar begini bahaya.

“Menuduh parti lain sebagai sesat dan tidak berperlembagaan adalah taktik lapuk dan tidak bertanggungjawab. Bagaimana parti-parti lain boleh wujud dan beroperasi sekiranya bertentangan dan bercanggah dengan perlembagaan?"soalnya.

Mengulas lanjut Muhammad Kamil turut mempersoalkan pihak manakah yang didawka cuba menggerakkan usaha untuk menamatkan sistem beraja.

“Jika ada sila laporkan kepada pihak berkuasa. Jika tiada, jangan mengadakan benda yang tiada. Jangan lupa yang punya rekod 'derhaka' itu adalah di sebelah sana.

“Mungkin teguran berkenaan krisis nilai itu merujuk kepada sebahagian pimpinan PAS yang lewat ini kerap menghambur nista, termasuk presidennya,” katanya.

Jelas Muhammad Kamil, kerajaan di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim konsisten dalam mengangkat politik nilai, fokus kepada agenda memperkukuh ekonomi dan perpaduan dalam negara.

“Ini seharusnya didukung oleh semua pihak termasuk pembangkang,” tambahnya.

Sebelum ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan pentadbirannya bersifat kuku besi dalam soal isu 3R.

Sebaliknya jelasnya, apa yang tak diizinkan (adalah) hasutan, ajakan ke arah keganasan atau menimbulkan pergaduhan antara kaum.

Pada masa sama, Anwar menegaskan dia tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan rakyat.

“Ada pembangkang mengatakan kita zalim, (kata) tak boleh bicara isu 3R. Tak betul.

“Kalau nak bicara soal agama Islam atau agama lain, nak bicara soal kaum, tak puas hati atau nak bantah, itu semua diizinkan,” katanya baru-baru ini.