Logo Malaysiakini

Persepsi dah berubah, sentimen tunjukkan rakyat nak BN - Presiden MIC

Presiden MIC SA Vigneswaran yakin BN akan menang mudah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang akan diadakan 28 September ini.

Ini kerana katanya rakyat mahu melihat BN kembali berkuasa dan persepsi terhadap gabungan itu telah mula berubah.

"Di PRK Nenggiri, saya sendiri ingat BN akan kalah. Tapi, kita menang dengan majoriti lebih tinggi. Ini kerana persepsi kian berubah.

"Sudah tentu di PRN Mahkota kita akan menang. Saya sangat 'arrogant' dengan pendirian saya, bukan kerana Johor adalah kubu kuat BN. Sentimen di lapangan juga menunjukkan rakyat nak BN," katanya dalam ucapan dasar di Mesyuarat Agung Tahunan MIC di IDCC Shah Alam, hari ini.

Pada PRN Nenggiri, BN menerusi calonnya Mohd Azmawi memenangi kerusi DUN itu dengan mengalahkan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.

Sementara, PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon BN dan PN.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH, PN dan Warisan.

Sementara itu, Vigneswaran berkata ahli MIC perlu melawan pengkritiknya dengan fakta.

"Kata pepatah Afrika: "Selagi singa tidak belajar menulis, semua cerita hanya akan mengagungkan pemburu."

"Maksudnya, kita harus mampu membentuk naratif kejayaan kita sebelum sukses perjuangan kita diaibkan dan diperkecilkan oleh musuh kita.

"Marilah kita meredakan ketakutan yang tidak berasas bahawa orang mungkin melabelkan kita sebagai sombong kerana bercakap tentang kejayaan kita.

"Sudah tiba masanya untuk kita melawan fakta dengan fakta, mencari penyelesaian yang tuntas berkenaan dengan masalah yang sudah begitu lama menghantui masyarakat kita dan memastikan tiada seorang pun ahli masyarakat kita yang tercicir dari arus pembangunan perdana, sekali gus mendominasi media sosial serta memenangi persepsi politik yang menjadi senjata utama pembangkang," katanya.