Logo Malaysiakini

Mou kerajaan: Zahid tak tolak kemungkinan adakan rundingan semula

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan kerajaan akan mengadakan semula rundingan mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

"Saya mengikuti ulasan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PN terhadap deraf MOU peruntukan yang telah diserahkan kepada mereka dan jika mereka setuju atau sebaliknya, itu terserah kepada pemimpin-pemimpin mereka.

"Kerajaan telah mengemukakan deraf itu, kalau mereka mahu menerima, terimalah tanpa syarat atau boleh diadakan perincian dari perundingan. Kalau tidak terima, kita lupakan sahaja.

"Saya pasti akan ada rundingan tetapi tak lari dari syarat-syarat yang ada dari deraf MoU," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MIC di IDCC Shah Alam hari ini.

Terdahulu, PN hari ini sebulat suara menolak dua set deraf cadangan MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada ahli parlimennya.

MoU itu adalah di antara kerajaan dan parti PN serta di antara kerajaan dengan semua ahli Parlimen PN.

Menurut Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin, keputusan sebulat suara menolak MoU tersebut dibuat atas empat sebab fundamental yang antaranya didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga pengerusi BN berkata MoU ini berbeza dengan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan Perdana Menteri sebelum ini, Ismail Sabri Yaakob.

"CSA sebelum ini yang diberikan kepada pembangkang ketika PM ke-9 ada berbeza kerana memerlukan sokongan untuk meluluskan ucapan dan peruntukan belanjawan.

"Tapi pada kali ini dengan adanya 153 sokongan ahli parlimen, CSA tidak diperlukan. Namun apa yang telah dibuat oleh Fadilah Yusof sebagai pengerusi jawatankuasa ini adalah sesuatu yang diderafkan dan serahkan kepada pembangkang dan terserah kepada mereka nak bersetuju atau sebaliknya," katanya.