Logo Malaysiakini

PAS terima Umno, bukan Zahid, kata Tuan Ibrahim

MUKTAMAR PAS l PAS tidak cenderung untuk bekerjasama dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kerana status kes jenayahnya, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu berkata parti itu bimbang untuk bekerjasama dengan Zahid kerana dia belum dibebaskan daripada 47 pertuduhan rasuah, di sebalik keputusan pihak pendakwaan menarik balik kes mereka terhadap timbalan perdana menteri tersebut.

“Kes Zahid masih lagi status DNAA (pelepasan tanpa  pembebasan). Tapi sekiranya ada bukti-bukti (kemudian) maka dia (boleh) disabitkan,” kata Tuan Ibrahim pada sidang media selepas berakhirnya Muktamar PAS ke-70 di Temerloh, Pahang hari ini.

Dia diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, yang mempersoalkan logik PAS cuba memancing sokongan Umno tanpa membabitkan Zahid.

Semalam Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengakui partinya masih terbuka untuk menerima Umno, tetapi mereka hanya cuba menarik sokongan pemimpin Umno yang tidak sehaluan dengan Zahid.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata parti itu juga menyedari reaksi rakyat terhadap keputusan Peguam Negara menarik balik 47 pertuduhan terhadap Ahmad Zahid, yang menurutnya "bukan kecil".

“Sebab itu kita tengok respon ramai sangat, sebab ini isu integriti, soal undang-undang.

“Jadi bagi kita (PAS), kita terbuka, presiden sebut ini (kes Zahid) salah satu faktor,” katanya.

Ketika ditanya mengenai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang juga mempunyai kes mahkamah, Tuan Ibrahim berkata terdapat perbezaan antara kes Muhyiddin dan Zahid.

Katanya, bahawa kes Muhyiddin masih di mahkamah dan prima facie belum ditubuhkan.

Untuk rekod, pertuduhan terhadap Zahid ditarik balik selepas mahkamah mendapati terdapat kes prima facie dan memerintahkannya membela diri.

[Baca berita penuh]