Logo Malaysiakini

DAP Pahang: Tutup kasino Genting jejaskan ekonomi, mata pencarian umat Islam

Pengerusi DAP Pahang, Lee Chin Chen, melahirkan rasa terkejut dengan hasrat PAS negeri untuk menutup premis judi, termasuk kasino di Genting Highlands.

Dia berkata tindakan sedemikian boleh menjejaskan ekonomi, termasuk sumber pendapatan umat Islam yang bekerja di kawasan destinasi pelancongan itu.

Dalam kenyataan hari ini, Lee berkata Genting Highlands telah beroperasi sejak 1971, dengan syarat yang jelas bahawa kasino itu hanya membenarkan kemasukan orang bukan Islam, dan kakitangan keselamatan di pintu masuk akan memastikan pengunjung memenuhi syarat berkenaan.

Dia menambah Genting Highlands adalah salah satu destinasi pelancongan antarabangsa yang terkenal di Malaysia, yang menjana pendapatan pelancongan yang besar.

Chin juga memaklumkan bahawa setakat Mac tahun ini, seramai 1,724,924 pelancong domestik dan antarabangsa telah melawat Genting Highlands, iaitu meningkat sebanyak 15.17 peratus berbanding suku pertama tahun lalu.

“Ini jelas menunjukkan bahawa Genting Highlands bukan sahaja merupakan tempat hiburan tetapi juga sumber utama pendapatan pelancongan untuk Pahang.

"Genting Highlands menggaji puluhan ribu pekerja, yang majoritinya adalah umat Islam.

"Jika PAS menutup Genting semata-mata atas sebab ideologi, ia akan menjejaskan kehidupan pekerja-pekerja ini dan menyebabkan kesan besar terhadap ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee, yang juga Adun Bilut, berkata kerajaan Madani sedang giat berusaha untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, dengan salah satu objektif utama adalah memulihkan keyakinan pelabur di Malaysia.

Oleh itu, menruutnya cadangan PAS untuk mengharamkan perjudian berkemungkinan akan menjejaskan keyakinan pelabur, menyebabkan pelaburan beralih ke negara lain di Asia Tenggara, dan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Dia juga menegaskan kemajuan dan kemakmuran Malaysia dibina atas dasar toleransi dan hormat-menghormati antara pelbagai etnik, tetapi PAS seolah-olah cuba memecahbelahkan negara dengan mencetuskan ketegangan kaum.

Chin memberi amaran bahawa jika situasi ini berterusan, ia boleh membawa kepada perpecahan kaum dan menyebabkan perkembangan ekonomi negara terbantut.

Terdahulu hari ini, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata PAS Pahang komited untuk menutup premis perjudian, termasuk kasino di Genting Highlands, jika parti itu berjaya menguasai Pahang dalam pilihan raya akan datang.

Namun, dia menyatakan dalam kes melibatkan Genting Highlands, mungkin terdapat halangan di peringkat persekutuan terhadap matlamat mereka itu.

Sayap penyokong bukan Islam PAS juga dilihat menyokong cadangan itu sambil mencabar kerajaan persekutuan melaksanakan larangan perjudian di semua negeri di bawah kawalan mereka.