Logo Malaysiakini

Hadi jelaskan alasan tolak MoU dengan dua rangkap pantun

MUKTAMAR PAS l Presiden PAS Abdul Hadi Awang hariini menjelaskan parti itu menolak tawaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Madani kerana ia tidak mengikut sifat tabii sebenar mengikut amalan demokrasi yang menepati ajaran Islam.

Semasa ucapan penggulungannya pada Muktamar PAS ke-70 di Kerdau, Temerloh, hari ini, katanya kebanyakan negara yang diisytiharkan kemerdekaan pada namanya sahaja tetapi hatinya tetap bergantung kepada penjajah.

Presiden PAS itu mendakwa, ini yang berlaku terhadap pemerintahan negara ketika ini.

“Kita meminta dengan cara damai dan baik berkonsepkan  federalisme, amalan demokrasi sebenar yang adil dan tidak berlaku zalim, tidak berbohong dan tidak mengkhianati perjanjian dengan semangat cintakan negara berkonsep perpaduan yang sebenar walaupun berbeza ideologi dan agama.

“Banyak lagi dalil-dalil yang nyata mengapa PAS tidak menyertai kerajaan yang bernama perpaduan yang hakikatnya tidak berisi perpaduan dan kerajaan Madani yang masih mentah amalannya dan tidak mempunyai ramuan yang nyata halalnya,” katanya.

Abdul Hadi berkata Islam mewajibkan berlaku adil dan tidak berbohong apabila mengadakan perjanjian.

Dia seterusnya menyenaraikan apa yang dikatakannya sebagai tidak halal yang dilakukan kerajaan hari ini.

“Kerajaan negeri Terengganu dibatalkan perjanjian royaltinya, manakala kerajaan Kelantan pula dinasakhkan perjanjian royaltinya. 

“Adapun Kedah dan Perlis hanya ada minyak gamatnya sahaja,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, kerajaan pusat sepatutnya menguji kemampuan empat kerajaan negeri dengan memberi peluang kepada masing-masing untuk mengurus dan mentadbir sendiri.

Dia kemudian mengakhiri alasan penolakkannya itu dengan dua rangkap pantun.

“Kita ke Sabah melawat Papar,

Singgah minum air tebu,

Kita sabar menahan lapar,

Bukan marahkan nyamuk membakar kelambu. 

“Selepas minum ikan dibakar,

Bila masak kita makan,

Teguh Malaysia tidak dibakar,

Tanah air ini tetap dicintakan.” 

Awal hari ini, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin mengumumkan Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menolak dua set deraf cadangan MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada ahli parlimennya. 

MoU itu adalah di antara kerajaan dan parti PN serta di antara kerajaan dengan semua ahli Parlimen PN.

Katanya keputusan sebulat suara menolak MoU tersebut dibuat atas empat sebab fundamental yang antaranya didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Antaranya, Hamzah mendakwa beberapa syarat dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera dan  bertentangan dengan nilai tradisi, nilai budaya, nilai moral, agama serta nilai-nilai tempatan.

Selain itu, MoU itu juga didakwa mengandungi perkara dilihat mengongkong kebebasan bersuara ahli Parlimen.