Logo Malaysiakini

Kabinet bincang isu sijil halal Rabu depan - Zahid

Timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata jemaah menteri akan membincangkan isu pensijilan halal pada mesyuarat kabinet Rabu depan.

Katanya, setakat ini kerajaan tidak membuat sebarang keputusan untuk mewajibkan pengusaha restoran dan syarikat makanan perlu mendapatkan sijil halal.

"Soal halal soal haram itu adalah sesuatu yang sudah berada di negara ini begitu lama.

"Sijil halal juga diminta oleh pengusaha-pengusaha bukan Islam dan tidak ada satu keputusan pun untuk mewajibkan sijil halal untuk semua restoran di seluruh negara, tidak ada keputusan kabinet.

"Itulah sebab perdana menteri (Anwar Ibrahim) mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar untuk memberitahu kedudukan sebenarnya pada Rabu ini apa keadaan yang sebenarnya tentang cadangan kajian terhadap sijil halal," katanya dalam ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MIC di IDCC, Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata tiada sesiapa boleh memaksa peniaga bukan Islam untuk mendapatkan sijil halal.

"Saya memahami perkara itu. Saya pernah menjadi menteri hal ehwal Islam. Apa kata dalam Islam: agama kamu untuk kamu, agama saya untuk saya.

"Apa maksud sebenarnya, untuk agama lain hormat agama kamu, kamu perlu hormati agama mereka," katanya.

Imej agama kaum lain

Terdahulu, Presiden MIC SA Vigneswaran dalam ucapan dasar berharap penggunaan sijil halal tidak akan menyekat penggunaan imej berunsurkan agama kaum lain di premis perniagaan.

"Status halal premis makanan dan restoran memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan dan kepercayaan pengguna khasnya rakyat beragama Islam. Syarat untuk mendapat sijil halal bagi premis makanan, tidak kira bangsa dan agama, yang ingin menawarkan hidangan kepada pelanggan beragama Islam amat digalakkan.

"Akan tetapi, saya berharap syarat tersebut tidak akan menyekat penggunaan imej berunsurkan agama kaum lain yang sering digunakan oleh pengusaha restoran bukan Islam di kaunter pembayaran sebagai tanda kepercayaan masing-masing.

"Kebebasan untuk berbuat demikian telah dijamin oleh Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang melaungkan kebebasan untuk beragama masing-masing dan Rukun Pertama dalam Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan," katanya.

Tambahnya, sekatan terhadap penggunaan imej berunsurkan agama kaum lain akan membawa kesan domino kepada asas perpaduan di antara masyarakat majmuk Malaysia.

Dia juga memohon Ahmad Zahid selaku Pengerusi Majlis Halal Malaysia (MHC) agar mempertimbangkan kebimbangan MIC dalam hal ini.

"Misalnya bila rakan dari kaum lain menerima jemputan saya untuk menghadiri rumah terbuka untuk Deepavali. Di rumah saya tiada makanan yang mengandungi barang tak halal. Kami hanya menghidang vegetarian food dan ayam dan kambing halal.

"Apakah akan jadi jika sekatan dikenakan, rumah saya tidak boleh dikunjungi oleh orang Islam kerana walaupun makanan yang kami hidang adalah halal tetapi ada imej Hindu dalam rumah saya yang menjadikan tempat saya tidak halal? Apakah rakan-rakan saya tidak boleh menjamu selera di rumah saya?

"Inilah realiti yang bakal berlaku jika sekatan sebegini dikenakan. Sebelum mengimplementasi apa-apa polisi, kita mesti soal berkenaan impak polisi tersebut atas masyarakat majmuk.

"Adakah polisi itu akan memupuk komuniti di mana setiap tradisi, setiap kepercayaan, dan setiap individu dialu-alukan dengan tangan terbuka dan hati terbuka atau menyemai benih perpecahan," katanya.