Logo Malaysiakini

'PAS tak ikhlas nak jalin semula kerjasama MN bersama Umno'

Pemimpin Umno menyifatkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak ikhlas untuk menjalin semula kerjasama dengan parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) apabila mengenepikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kenyataan Abdul Hadi itu membuktikan sikap pentingkan diri sendiri dan tidak berlandaskan kepentingan Melayu, Islam.

"Bagi saya kenyataan Abdul Hadi itu tidak ikhlas serta hanya mementingkan parti mereka sahaja dan saya tidak nampak cadangan kerjasama ini dibuat atas dasar kepentingan Melayu dan Islam.

"Jika Abdul Hadi ikhlas kenapa hendak ketepikan presiden kami? Adakah Abdul Hadi cuba memecahbelahkan Umno yang semakin hari semakin kukuh?

"Umno ada ketuanya yang memimpin dan jika PAS berhasrat untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama, seharusnya perlu berbincang dan berunding dengan presiden kami.

"Ini kerana Umno meletakkan institusi presiden yang mengetuai parti untuk menentukan arah tuju parti," kata Wan Rosdy pada kenyataan, hari ini.

Semalam, PAS menegaskan mereka tetap meneruskan usaha untuk menarik sokongan pemimpin Umno dalam usaha menghidupkan MN.

Abdul Hadi mengakui pihaknya masih terbuka untuk menerima bekerjasama dengan Umno.

Bagaimanapun jelasnya ia melibatkan sebahagian pemimpin yang bukan daripada kem Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Ya, ya, ya (terbuka terima Umno).

“(Kita) nak tarik pimpinan-pimpinan Melayu Bumiputera termasuk bukan Islam yang tak ekstrem,” kata Hadi pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS ke-70, di Kerdau, Temerloh.

‘Abdul Hadi merapu’

Dalam pada itu, Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata tiada pemimpin Umno yang sanggup bersama pemimpin PAS lagi dalam MN.

Mustapha menyifatkan kenyataan Abdul Hadi semalam itu "kenyataan bodoh" dan merapu.

"Tidak ada pemimpin Umno yang sanggup bersama PAS bagi menghidupkan semula MN. Semua pengkhianat yang disingkirkan telah bersama PAS.

"Mereka yang digantung masih jadi ahli Umno. Yang dalam Umno tetap setia dengan Umno. Jadinya Abdul Hadi janganlah bermimpi disiang hari," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi dipetik Berita Harian berkata parti itu sentiasa membuka pintu kerjasamanya.

Namun, katanya untuk bekerjasama perlulah ikhlas bukannya meletakkan syarat tertentu seperti mana dinyatakan Abdul Hadi semalam.

"Mana mungkin nak kahwin, tapi letak syarat tak boleh terima ayah pasangan.

"Sesuatu permuafakatan itu perlu berasaskan kejujuran dan keikhlasan, ia umpama seperti sebuah perkahwinan.

"Sepatutnya apabila Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara menitahkan supaya semua sepakat mewujudkan permuafakatan dan menubuhkan Kerajaan Perpaduan (selepas PRU15), kenapa hanya PAS dan Bersatu saja tolak, sedangkan 19 parti lain bersetuju untuk akur kepada titah Tuanku.

"Sebab itulah asasnya adalah kejujuran dan keikhlasan," katanya.