Logo Malaysiakini

Wan Fayhsal teruja tunggu surat saman Rafizi

Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal "teruja" menunggu surat saman daripada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Ini selepas ahli parlimen Machang itu mendakwa Rafizi menggunakan peruntukan kementeriannya bagi membiayai laskar siber untuk mempertahankan kerajaan.

"Saya tunggu dengan penuh rasa teruja surat saman (LOD) dari peguam kamu Rafizi. Kamu nak heret ke mahkamah? Silakan!

"Mudah kami telanjangkan macam-macam tatakelola reformasi palsu kamu di sana," tulisnya pada satu hantaran di Facebooknya.

Semalam, Rafizi yang juga timbalan presiden PKR berkata dia akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Wan Ahmad Fayhsal kerana memfitnahnya.

Menurutnya, dia telah berbincang dengan pasukan peguam untuk memulakan proses tindakan undang-undang tersebut.

"Saya tidak pernah saman sesiapa, tetapi fitnah YB Machang ini adalah kes yang sangat jelas bila dibawa ke mahkamah," katanya merujuk kepada hantaran Wan Fayhsal di X (dahulunya Twitter).

Wan Fayhsal sebelum itu mengulang siar hantaran pengguna X @RichardPower yang memetik nama dua pempengaruh media sosial dan mendakwa mereka dibayar Rafizi untuk mempertahankan kerajaan.