Logo Malaysiakini

DHPP cabar k’jaan pusat haramkan perjudian di semua negeri

MUKTAMAR PAS l Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) hari ini mencabar gabungan kerajaan persekutuan hari ini untuk mengenakan larangan perjudian di semua negeri di bawah terajui mereka.

Perwakilannya ke muktamar tahunan PAS, Thines Sreedaran berkata DHPP menyokong keputusan kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS untuk menamatkan operasi semua kedai judi di negeri itu sejak Jan tahun lalu.

“Judi merosakkan institusi keluarga dan bangsa di mana-mana agama. Ianya haram.

“Tetapi kenapa kerajaan persekutuan hari ini mempertahankan judi? Adakah mereka ingin rakyat rosak dari segi akhlak?

“Mereka (kerajaan Madani) harus mengambil keputusan PAS ini sebagai satu teladan dan kami cabar mereka lakukan perkara yg sama di negeri yang diperintah oleh mereka,” katanya kepada lebih 1,000 perwakilan PAS yang bersidang di Temerloh, Pahang hari ini.

Thines membahaskan usul yang dicadangkan oleh sayap pemuda PAS untuk menghormati semangat federalisme, yang menuntut kerajaan persekutuan menghormati hak semua negeri dan melayan setiap mereka secara adil.

Dia turut mengkritik kerajaan persekutuan kerana membenarkan aktiviti perjudian diteruskan.

Katanya, Putrajaya tidak seharusnya hanya bersikap retorik apabila bercakap tentang menjaga kebajikan rakyat.

“Kalau serius lakukan perubahan,” katanya.

PAS telah mengharamkan aktiviti perjudian secara berkesan di semua negeri di bawah terajui mereka.

Kelantan dan Terengganu telah mengenakan larangan itu pada 1990 dan 2020 manakala Kedah menutup operasi  45 kedai perjudian bermula Januari tahun lalu.

Perlis adalah negeri keempat yang diperintah PAS yang berhenti mengeluarkan lesen untuk pusat perjudian selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sementara itu, sidang muktamar hari ini turut menyaksikan perwakilan PAS meluluskan semua enam usul yang dibentangkan.

Ia termasuk usul solidariti PAS dengan Palestin dan gesaan agar pucuk pimpinan parti memimpin usaha ke arah menyatukan orang Melayu dan Islam di Malaysia.

Perwakilan juga meluluskan cadangan supaya PAS memberi tekanan kepada Putrajaya dan semua pentadbiran negeri agar menolak Akta Pembangunan Semula Bandar, yang akan dicadangkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.