Logo Malaysiakini

Asal bukan ateis boleh jadi ahli bersekutu PAS

MUKTAMAR PAS | Keahlian PAS kini dibuka kepada orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu selepas parti itu meluluskan pindaan perlembagaan pada Muktamar ke-70, hari ini.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam pembentangan usul pindaan perlembagaan bagaimanapun menyatakan antara syarat keahlian bukan Islam adalah mestilah menjadi penganut agama lain.

Katanya, seseorang yang tidak mempunyai agama atau ateis tidak layak menjadi ahli bersekutu PAS.

“Beragama selain daripada Islam, ia kita sebut bukan beragama Islam (atau) beragama selain Islam.

“Maksudnya seseorang nak jadi ahli bersekutu PAS mesti beragama. Sama ada Hindu, Kristian, Buddha dan mesti jadi ahli agama apa saja yang ada dalam dunia ini.

“Dalam kata lain ateis, org tak ada agama tak boleh jadi ahli bersekutu PAS,” katanya pada mesyuarat agung tahunan PAS di Kompleks Al-Makmur di Kerdau, Temerloh, Pahang itu.

Takiyuddin berkata pindaan perlembagaan PAS itu membabitkan Fasal 10 yang sebelum ini hanya mempunyai satu keahlian sahaja.

“Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) juga diperkasa dan dimantapkan lagi dengan memberikan lebih hak dan peranan kepada ahlinya, termasuk hak mengundi dan dipilih dalam parti, sebagaimana ditetapkan dalam Fasal 60.

“Pindaan ini akan memberi ruang yang lebih luas kepada DHPP dalam menyumbang kepada hala tuju parti,” katanya.

Selain usul ahli bersekutu, PAS turut membentangkan enam usul lain antaranya mewujudkan peruntukan antilompat parti, penubuhan sayap baru iaitu Dewan As-Sabiqun dan mewujudkan peruntukan berkaitan lembaga pemegang amanah.

Kesemua usul berkenaan kemudiannya diberi ruang untuk dibahaskan oleh para perwakilan sebelum diluluskan sebulat suara oleh persidangan muktamar.