Logo Malaysiakini

PAS lulus pindaan perlembagaan, masukkan peruntukan antilompat parti

PAS menjadi parti politik terbaru yang memasukkan peruntukan antilompat parti dalam perlembagaannya.

Ini selepas kira-kira 1,300 perwakilan PAS ke muktamar tahunan parti itu di Temerloh, Pahang meluluskan usul yang dibentangkan pucuk pimpinan parti berhubung perkara itu awal petang ini.

“Sokong!” kata perwakilan semasa sesi pengundian, dengan beberapa lagi pindaan perlembagaan PAS turut diluluskan.

Setiausaha Agung parti Takiyuddin Hassan ketika membentangkan cadangan itu sebelum ini berkata peruntukan itu secara berkesan akan menyebabkan mana-mana ahli parlimen PAS atau Adun kehilangan keahlian parti secara automatik jika mereka bertentangan dengan keputusan parti.

Ini termasuk menyertai atau memberi sokongan kepada parti politik lain yang tidak direstui PAS.

Mereka yang memutuskan untuk menjadi wakil rakyat bebas juga secara automatik kehilangan keahlian mereka, tambahnya.

“Justeru, apabila mereka tidak lagi menjadi ahli PAS, Perlembagaan Persekutuan menetapkan kerusi mereka mesti dikosongkan,” katanya.

Menurut Takiyuddin, pucuk pimpinan parti memutuskan untuk membuat langkah itu memandangkan parti lain telah pun menerima pakai peruntukan sedemikian dalam perlembagaan masing-masing agar selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Perundangan antilompat parti telah diperkenalkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan pada 2022 melalui rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Berikutan itu, banyak parti politik telah mengambil langkah untuk meminda undang-undang parti masing-masing untuk menghalang wakil rakyat mereka lompat parti.