Logo Malaysiakini

ULASAN | Susahnya diiktiraf halal seperti mencari cinta sejati

ULASAN | Susah nak dapat, tapi bila dah dapat tak hargai. Yang tak dapat pula, dengki dengan orang lain.

Dalam hal ehwal makanan dan minuman, logo halal menjadi simbol kepercayaan yang amat penting buat pengusaha dan pengguna. Ia lebih daripada sekadar tanda pada bungkusan makanan. 

Bagi mendapatkan pengiktirafan sijil halal ini ibarat mencari cinta sejati—susahnya bukan kepalang walau sudah memenuhi segala kriteria yang dimahukan. Biarpun pelbagai usaha telah dibuat, tidak semua berjaya menggapai kemuncak yang didambakan. 

Semua pihak yang terlibat dalam industri makanan—daripada peniaga kecil di jalanan hingga ke restoran dan francais besar—berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan ini.

Pengusaha bukan Muslim menjadi pihak yang (sepatutnya) paling bersungguh kerana mereka bergantung kepada kuasa logo ini sebagai tanda makanan yang mereka dagangkan adalah bersih dan suci. Usaha ini penting dalam memastikan produk mereka diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Isu pengiktirafan halal menjadi topik perbualan (dan pergaduhan) hangat apabila beberapa restoran besar didapati tiada sijil halal meskipun mempamerkan tahap kebersihan yang tinggi dan mempunyai pekerja Muslim. Situasi ini turut menimbulkan persoalan tentang proses mendapatkan pengiktirafan halal yang ternyata tidak mudah dan penuh dengan birokrasi yang kompleks. 

Ramai peniaga kecewa kerana walaupun telah mematuhi semua syarat yang ditetapkan, permohonan mereka tidak diluluskan. Daripada aspek persembahan kelihatan seperti 'halal' sekiranya dilihat daripada segi kebersihan dan pekerja. Realitinya, masih tiada pengiktirafan secara rasmi.

Situasi menjadikan segelintir pengusaha Muslim memandang ringan hal ini. Berpegang atas dasar ‘percaya sesama kita’—tentulah mereka akan sembelih haiwan mengikut panduan, tiada unsur-unsur haram atau najis dalam produk mereka dan lain-lain. 

Sedangkan banyak penjuru yang perlu diberi perhatian teliti. Setiap bahan yang digunakan, cara penyediaan, penyimpanan dan pengendalian makanan mesti mematuhi piawaian. Proses mendapatkan logo halal yang melibatkan pemeriksaan yang teliti dan audit yang ketat oleh pihak berkuasa terkadang mematikan rasa mahu berusaha untuk mendapatkannya.

Seperti yang digendangkan oleh Aristotle, integriti itu kesatuan antara apa yang kita katakan, apa yang kita lakukan dan apa yang kita percaya. Dalam dunia perniagaan, ia merujuk kepada kebersihan, kejujuran dan kepatuhan kepada syariat yang merupakan kriteria lebih penting berbanding sekadar mendapatkan pengiktirafan rasmi. Benar, logo halal penting, namun nilai sebenar terletak pada usaha gigih dan niat lurus untuk mematuhi prinsip-prinsip cara pengendalian dan penyajian makanan.

Sebagai negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, penting untuk semua pihak menghormati keperluan dan kepentingan sijil halal. Ini termasuklah pengusaha bukan Muslim yang perlu memahami sensitiviti dan keperluan pelanggan Muslim. Walaupun proses mendapatkan pengiktirafan halal adalah rumit, ia langkah penting untuk memastikan makanan yang dijual memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh agama Islam.

Ia perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama-sama dalam menjaga kepercayaan pelanggan. Dengan mematuhi syarat-syarat keperluan pengiktirafan halal, mereka bukan sahaja menunjukkan penghormatan terhadap agama Islam, tetapi juga membuktikan komitmen dalam menyediakan produk yang berkualiti dan boleh dipercayai.

Wajar untuk kita memberi tepukan buat pengusaha yang gagal mendapatkan sijil halal tetapi tetap mematuhi dan berusaha mengekalkan kebersihan. Mereka menunjukkan komitmen tinggi dalam menyediakan makanan yang bersih dan selamat untuk pelanggan. Ini adalah nilai yang perlu kita hormati dan puji, sama seperti kita menghargai cinta walaupun statusnya masih seperti mencari jarum dalam jerami.

Pada akhirnya, usaha dan integriti adalah elemen penting dalam mendapatkan pengiktirafan halal dan membina cinta. Meskipun cabaran dan rintangan adalah separuh daripada perjalanan ini, hasilnya nanti adalah sesuatu yang berharga. Seperti logo halal yang melambangkan kepercayaan dan kepatuhan kepada syariat, cinta yang halal juga mewakili komitmen tulus dan ikhlas dalam membina hubungan yang berpanjangan dan abadi. 

Selagi sunyi dari kata sah, tandatangan-cop-wali-saksi dan hiasan reben lainnya, ia hanyalah bagai asap yang hilang diterbangkan angin.

Begitulah bagaimana cinta dan pengiktirafan halal saling terkaitkan. Kedua-duanya memerlukan usaha, kesungguhan dan keikhlasan yang tinggi. Dan apabila akhirnya berjaya dimiliki, adalah penting untuk menghargai dan memelihara nilai-nilai yang terkandung di dalamnya.


NUR AFIRAH adalah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.