Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

‘Sarawak junjung semangat federalisme dalam perbincangan MA63’

Kerajaan Sarawak akan terus menjunjung semangat federalisme dalam perbincangannya dengan kerajaan persekutuan dalam usaha mendapatkan semula hak mereka di bawah Perjanjian Malaysia (MA63).

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak telah mengambil pendekatan diplomatik dalam perbincangan mereka dengan kerajaan persekutuan berhubung isu MA63. 

Dia berkata usaha menuntut hak-hak Sarawak di bawah MA63 tidak sesekali berniat untuk mencabar sistem persekutuan negara tetapi lebih kepada melindungi apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Dengan semangat ini, tuntutan autonomi Sarawak ke atas sumber aslinya sendiri bukanlah satu tindakan antifederalisme, sebaliknya pengesahan semula prinsip persekutuan yang mengiktiraf hak-hak dan status unik  Sarawak dalam Persekutuan,” katanya. 

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Malaysia 2024 di Kuching, semalam.

Dua hari lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sejumlah 11 tuntutan di bawah platform rundingan MA63 telah berjaya diselesaikan.

Fadillah berkata tujuh tuntutan diselesaikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 [Akta 533] bagi melantik wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.

Sementara itu, Abang Johari berkata MA63 bukan dirangka untuk melemahkan persekutuan sebaliknya bertujuan memperkukuhkannya.

Dia berkata kejayaan Sarawak baru-baru ini dalam menguruskan sumber aslinya adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Sarawak, jauh sekali daripada melangkaui batasannya, melaksanakan kuasa yang telah diberikan oleh Perlembagaan.

“Pengurusan minyak dan gas kita, contohnya, adalah termasuk dalam hak-hak yang diiktiraf di bawah Perlembagaan. Ini adalah penegasan autonomi Sarawak dalam kerangka persekutuan dan bukanlah satu  penyimpangan,” katanya.

-Bernama