Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Penjaja harap mudahkan permohonan jika sijil halal diwajibkan

Laporan berhubung cadangan agar sijil halal diwajibkan kepada restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol telah menimbulkan polemik, dengan pelbagai pihak menyuarakan pandangan.

Ada yang berpadangan ia dapat meningkatkan mutu produk makanan yang dikeluarkan, namun pada masa sama segelintir pihak membangkitkan isu seperti kos tambahan kepada peniaga.

Sejumlah peniaga kecil yang ditemui Malaysiakini tidak menolak cadangan itu namun berharap, jika ia dilaksanakan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat memudahkan proses permohonannya.

Seorang peniaga kecil yang hanya ingin dikenali sebagai Ali berkata dia setuju dengan cadangan itu namun mengakui proses permohonan pensijilan itu agak rumit.

Ali

Pemuda berusia 29 tahun itu juga berkata permohonan akan menambahkan lagi kos perniagaan mereka.

“Kami berniaga tepi jalan, jadi untung pun tak banyak sangat,” katanya yang menjual nasi lemak dan kuih-muih di Petaling Jaya, Selangor.

Pada masa sama, dia mengakui tiada masalah untuk makan di restoran yang tiada sijil halal jika melihat ia memiliki ramai pelanggan Muslim.

“Ini kerana saya yakin restoran itu menggunakan ramuan dan bahan yang halal.

“Namun saya tetap merasakan sijil halal penting untuk restoran,” katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini.

Adam Izuan

Seorang lagi peniaga, Adam Izuan pula berharap kerajaan dapat mengurangkan bayaran yang diperlukan bagi permohonan sijil halal, terutama untuk para penjaja.

“Mungkin pensijilan halal ini diwajibkan untuk restoran yang besar sahaja,” katanya, namun mengakui sijil itu penting bagi menjamin hidangan yang disediakan benar-benar bersih dan sesuai dimakan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Jakim sedang mempertimbangkan cadangan itu.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata pelaksanaannya akan membebankan peniaga kecil, termasuk milik Melayu.

Ia kemudian menjadi polemik dan laporan polis dibuat terhadap pemimpin DAP itu, menyebabkan dia kini dalam siasatan polis.

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad kemudian menggesa semua pihak agar menghentikan polemik secara terbuka ini kerana menurutnya ia akhirnya akan merugikan Islam.

Dia turut menggesa agar semua pihak, termasuk DAP, untuk duduk berbincang bersama Jakim yang menguruskan pensijilan halal.

‘Tetap jaga kebersihan, mutu makanan’

Penjaja, Muhammad Hisham, 46, turut senada dengan Ali dan Adam Izuan, berhubung kerumitan proses permohonan serta tempoh masa yang diperlukan untuk mendapat sijil itu.

“Saya berharap agar kadar fi pensijilan halal Malaysia pun biarlah berpatutan,” katanya.

Muhammad Hisham

Katanya lagi, orang ramai tetap membeli makanan di warung walaupun ia tidak memiliki sijil halal.

“Bagi saya, ini terpulang kepada individu tersebut.

“Kalau kita tengok peniaga yang berniaga di tepi jalan yang bersih, maka tempat peniaga itu okey bagi saya untuk beli makanan,” katanya lagi yang juga berniaga kuih-muih di Petaling Jaya.

Begitu juga dengan Nurul Hadayati Saudi, 20, yang berpandangan ramai peniaga kecil yang memang menjaga kebersihan makanan yang dijual mereka.

“Isu sijil halal ini mungkin disebabkan faktor kebersihan. 

Nurul Hadayati Saudi

“Bagi saya, di sini makanan yang dijual semuanya tertutup. Kami memang jaga kebersihan sebab kami menjual makanan kepada orang luar.

“Jadi, kami kena jagalah kualiti makanan walaupun jual di tepi jalan…Kami mengutamakan kebersihan dan kualiti makanan,” katanya.

Seorang lagi penjaja, Muhammad Ielhan Mohd Nujhan, 21, pula berkata walau tiada sijil halal, setiap peniaga perlu menjaga tahap standard makanan yang disediakan, misalnya dengan menjaga kebersihan dan tidak menggunakan bahan makanan yang sudah lama. 

Muhammad Ielhan Mohd Nujhan