Logo Malaysiakini

Kahwini bukan Islam untuk undi: Itu gurauan saja, kata DHPP

Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), yang merupakan sayap PAS yang dianggotai ahli bukan Islam, menyifatkan saranan agar pemimpin Pemuda parti itu berkahwin dengan bukan Melayu bagi meraih undi sebagai gurauan.

Ketuanya, N Balasubramaniam berkata dia tidak mahu mengulas mengenai perkara itu kerana perwakilan Pemuda PAS yang mencetuskan idea itu tidak serius.

“(Isu) itu tiada komenlah, sebab itu dia gurau saja," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Setiausaha Pemuda PAS Selangor Aubidullah Fahim Ibrahim memberitahu perwakilan pada muktamar Pemuda PAS bahawa pemimpin sayap itu perlu berkahwin dengan bukan Melayu untuk mendapatkan undi dari pengundi komuniti itu.

“Kita nak cadangkan supaya kepimpinan Pemuda ini perlu berkahwin rentas kaum ataupun rentas budaya. Kerana apa? Kerana apabila kita berkahwin merentas kaum ataupun budaya ini, kita bukan sekadar boleh menangkap satu undi, tapi insya-Allah kita akan menangkap 10 bahkan ratusan undi daripada bukan Melayu dan bukan Islam," kata Aubidullah.

Cadangan itu mendapat kritikan daripada ramai termasuk pemimpin dalam kerajaan persekutuan.

Sementara itu, mengenai rancangan pimpinan tertinggi PAS untuk membenarkan bukan Islam menjadi ahli parti, Subramaniam berkata DHPP menyokong sepenuhnya idea itu.

Bekas anggota Dewan Negara itu percaya langkah sedemikian boleh meningkatkan sokongan kepada PAS dan meningkatkan keahliannya daripada kalangan bukan Islam.

“Ini satu parti Islam. Apabila dia terima buka muslim sebagai ahli itu, jadi memang orang suka sangat sebab parti ini mmg adil pada semua.

“Itu memanglah satu benda yang boleh membawa bukan muslim ramai pada parti PAS sebagai penyokong dan pengundi," katanya.

Awal hari ini, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata parti itu akan membincangkan dalam muktamar utamanya esok mengenai cadangan membenarkan bukan Islam menyertai parti itu.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man juga telah menyebut rancangan itu dua hari lepas, berkata ia boleh membantu PAS mendekatkan diri dengan orang bukan Islam.

PAS pada masa ini hanya membenarkan orang Islam menjadi ahlinya, sementara DHPP untuk bukan Islam yang menyokong parti itu.