Logo Malaysiakini

Dakwaan pemerdagangan orang: Mashitah fail saman, tuntut NGO mohon maaf

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mashitah Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap sebuah NGO hak asasi manusia atas dakwaan yang mengaitkannya dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Mashitah memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 6 Sept lalu dan menuntut Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon maaf atas dakwaan tersebut.

Selain itu dia turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain menafikan penglibatan Mashitah dan suaminya dalam sindiket berkenaan.

MHO sebelum ini menggesa siasatan dilakukan berikutan siaran klip video dari dokumentari di saluran YouTube berpangkalan di Indonesia bertajuk “Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia”.

Mashitah yang merupakan timbalan menteri dari 2008 hingga 2013 itu mendakwa dia difitnah oleh MHO melalui sidang video di mana videonya dimuat naik ke media sosial pada 28 Ogos tahun lepas.

Mashitah berkata, kumpulan itu membuat dakwaan tidak berasas dan tidak benar merujuk kepada seorang bekas timbalan menteri di mana syarikatnya terlibat secara langsung dengan syarikat yang melakukan pemerdagangan manusia.

Dia mendakwa tangkap layar Facebook miliknya bersama gambarnya dipaparkan semasa sidang akhbar berkenaan.

Dia mendakwa kumpulan itu tidak pernah cuba mendapatkan pengesahan daripadanya sebelum membuat dakwaan berniat jahat itu.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan Selasa minggu depan untuk mendengar permohonan Mashitah bagi mendapatkan injunksi terhadap MHO.

Plaintif diwakili oleh firma guaman Akberdin & Co.