Logo Malaysiakini

'Kebebasan bersuara bukan bermaksud boleh menghina'

Pemuda PKR mendakwa pembangkang sedang cuba membina persepsi untuk menggambarkan kerajaan perpaduan sedang giat mengekang kebebasan bersuara ketika pada hakikatnya keadaan adalah berbeza.

Timbalan ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata adalah tidak benar dakwaan dibuat Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa kerajaan hari ini cuba menutup mulut pembangkang.

"Saya mohon Afnan Hamimi untuk menyatakan, mulut siapakah yang ditutup oleh kerajaan hari ini?

"Untuk makluman, sedangkan presiden parti Afnan Hamimi sendiri yang tanpa segan silu melabel pemimpin kerajaan dengan pelbagai hinaan pun tidak pernah lagi ditutup mulutnya, apatah lagi orang lain.

"Abdul Hadi Awang menggunakan istilah seperti kafir, tidak beroleh hidayah, dajal, agen Zionis dan sebagainya.

"Justeru kenyataan dibuat Afnan Hamimi tidak lebih sekadar cubaan untuk membina persepsi bahawa kerajaan hari ini mengekang kebebasan bersuara," katanya kepada Malaysiakini.

Dia yang juga setiausaha politik perdana menteri menambah semua pihak perlu sedar bahawa kebebasan bersuara tidak membawa maksud wakil kerajaan boleh dihina dan difitnah sewenang-wenangnya.

"Saya minta supaya Pemuda PAS tolong-menolong dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, bukan tolong-menolong berbuat dosa dan permusuhan," katanya.

Terdahulu, Pemuda PAS memberi amaran kepada Anwar Ibrahim supaya mendengar suara pengkritik atau berdepan risiko dijatuhkan melalui protes jalanan.

Afnan Hamimi yang merupakan Ahli Parlimen Alor Setar membangkitkan isu "tindakan keterlaluan" yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang mengkritik dasar-dasar kerajaan.

Dia turut merujuk kepada kemerosotan Indeks Kebebasan Akhbar Dunia tahun ini, yang menurutnya menandakan keadaan semakin buruk dalam hal kebebasan bersuara.