Logo Malaysiakini

Tony Pua akan beri keterangan dalam saman 1MDB terhadap Arul Kanda, Irwan

Bekas ahli parlimen, Tony Pua yang membangkitkan isu 1MDB 14 tahun lalu akan memberi keterangan minggu depan berhubung saman difailkan syarikat itu terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya dan bekas lembaga pengarahnya.

Pua akan menjadi saksi pada perbicaraan di mahkamah Selasa depan berhubung saman sivil 1MDB terhadap Arul Kanda Kandasamy dan Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Syarikat itu menuntut pampasan akibat kerugian berbilion yang ditanggungnya berikutan pelaburan sebanyak satu bilion dolar dalam usaha sama dengan Petrosaudi International Limited (PSI) pada 2009.

Peguam plaintif Brendan Siva memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa Pua akan berada kandang saksi pada 17 Sept.

Pada 2010, Pua yang merupakan ahli parlimen Petaling Jaya Utara ketika itu mempersoalkan angka keuntungan bersih RM425 juta yang dilaporkan 1MDB.

Pua meminta penjelasan apakah jumlah itu adalah hasil suntikan aset besar-besaran daripada kerajaan pimpinan Najib Razak ketika itu.

Pada perbicaraan sejak Isnin lalu, penyiasat penipuan kewangan Richard Templeman memberi keterangan bahawa ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) menggunakan syarikat cengkerangnya untuk menyalurkan AS$2.4 juta (RM5.5 juta) daripada 1MDB ke dalam akaun selebriti Amerika Syarikat, Pharrell Williams dan Kim Kardashian.

Bagaimanapun, Templeman mengakui bahawa Arul tidak terlibat dengan beberapa transaksi yang didakwa mencurigakan sebelum dia dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada Januari 2015.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dari 2009 hingga 2013, manakala Mohd Hazem Abd Rahman mengambil alih jawatan itu sehingga awal 2015.

Arul kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sehingga 2018.

Templeman juga mengakui bahawa tiada bukti berdokumen menunjukkan bahawa Irwan tahu bahawa AS$700 juta daripada dana 1MDB telah dialihkan kepada Good Star International pada 2009.

Entiti luar pesisir itu ditubuhkan oleh Jho Low yang sehingga kini masih bebas.

Irwan yang merupakan bekas ketua setiausaha perbendaharaan menjadi pengerusi 1MDB pada Julai 2016, dan meletak jawatan pada Mei 2018.

Ketika perbicaraan hari ini , Templeman dalam keterangannya berkata pengiraannya mengenai jumlah kerugian ditanggung 1MDB berbeza daripada apa yang didakwa oleh dana itu.

Katanya , pengiraannya menunjukkan AS $2.2 bilion mengalir daripada 1MDB kepada dua entiti luar pesisir, bukannya AS $ 3.5 bilion seperti yang didakwa oleh dana itu .

Saksi plaintif bersetuju bahawa 1MDB telah memperoleh semula AS$3.9 bilion daripada bank pelaburan antarabangsa Goldman Sachs .

Angka itu adalah sebahagian daripada penyelesaian yang diusahakan antara kerajaan Malaysia dan bank pelaburan antarabangsa yang dikaitkan dengan kes 1MDB .​

Pesuruhjaya kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan mempengerusikan prosiding mahkamah sivil hari ini.

Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman sivil terhadap Arul dan Irwan untuk mendapatkan pampasan atas kerugian yang ditanggungnya.

Dana itu mendakwa bahawa kedua-duanya melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng dana berjumlah AS$3.5 bilion, yang didakwa dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion yang didakwa dibayar kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa, pada 9 Mei 2017.

Secara kebetulan, 1MDB juga memfailkan saman sivil berasingan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kes jenayah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Peguam Brendan Navin Siva mewakili 1MDB. Manakala Arul Kanda dan Irwan masing-masing diwakili peguam Sanjay Mohan dan Lavinia Kumaraendran.